Sebagai sebahagian daripada komitmen kelestarian bank yang lebih luas, kad debit ini dihasilkan menggunakan paip polivinil klorida (PVC) kitar semula yang diperbuat daripada bahan pasca industri, mencerminkan usaha ke arah pemilihan bahan lebih lestari dalam rekaan produk.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pengguna dan Perbankan Digital Kumpulan CIMB Group, Effendy Shahul Hamid, berkata CIMB komited untuk menjadi sebuah bank yang bukan hanya memacu pertumbuhan kewangan tetapi menerajui inisiatif sosial, mengukuhkan komitmen bagi memperkasa pelanggan dan masyarakat.
“CIMB berbesar hati untuk bekerjasama dengan GAPS dalam memberi impak bermakna bagi kehidupan kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum melalui pengagihan sumbangan untuk peralatan rehabilitasi penting dan program pemerkasaan.
“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan kami bahawa perubahan positif bermula di peringkat masyarakat,” katanya pada pelancaran kad debit Visa CIMB di sini, hari ini.
Ia dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Effendy berkata, dengan menyemai budaya keterangkuman, CIMB bermatlamat untuk menambah baik kehidupan setiap individu dan meningkatkan kebersamaan sosial dalamkalangan masyarakat secara menyeluruh.
Sementara itu, Presiden dan Pengasas GAPS, Rafidah Rafizah Ahmad, berkata lebih 81 peratus keluarga yang mempunyai ahli keluarga dengan palsi serebrum tergolong dalam kumpulan B40.
“Keluarga yang menjaga individu palsi serebrum sering berdepan kesukaran berkaitan pendidikan khas, penjagaan kesihatan, kesejahteraan hidup, serta keperluan terhadap peralatan rehabilitasi khas yang melibatkan kos tinggi.
“Sokongan CIMB dengan pembiayaan peralatan rehabilitasi dan aktiviti pemerkasaan iniakan meringankan bebanan mereka secara signifikan.
“Dengan sumber yang tepat, kanak-kanak ini mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang minat masing-masing dan menjalani kehidupan yang lebih sempurna serta mampu mencapai potensi sebenar mereka,” katanya.
-BeritaHarian