Chelsea berpeluh, Ajax mara bergaya

Estimate Reading Time: 2 minutes

PARIS: Bekas juara Eropah, Ajax, Chelsea dan FCSB melepasi pusingan kelayakan pertandingan kelas dua dan ketiga Eropah awal pagi tadi.

Juara empat kali Ajax mara dengan selesa dalam pertandingan kelas kedua Liga Europa.

Kian Fitz-Jim, Kenneth Taylor dan Brian Brobbey meledak gol ketika Ajax membenam Jagiellonia dari Poland 3-0, susulan kemenangan besar pada aksi pertama di Bialystok sekali gus mara 7-1 secara agregat.

Kelab Romania, FCSB, yang memenangi Piala Eropah pada tahun 1986 sebagai Steaua Bucharest, mara selepas Darius Olaru menjaringkan gol pada masa kecederaan sebelum menang 1-0 di laman sendiri ke atas LASK dari Austria dan 2-1 secara agregat.
Di Istanbul, Ciro Immobile mengumpul enam gol dalam tiga perlawanan sejak berpindah ke Turkiye, menyumbat dua gol ketika Besiktas kendalian Giovanni van Bronckhorst membelasah Lugano dari Switzerland 5-1 bagi kemenangan agregat 8-4 dalam Liga Europa.

Chelsea, yang merudum ke pertandingan tahap tiga Liga Konferens dan mempunyai kelebihan dua gol selepas aksi pertama menentang Servette, melakukan lapan perubahan daripada skuad yang membenam Wolves dalam Liga Perdana Inggeris Ahad lalu.

Apabila Christopher Nkunku menyempurnakan penalti selepas 17 minit di Geneva, kelab London itu kelihatan menguasai.

Penyerang tengah Jeremy Guillemenot merembat leret mengatasi penjaga gol Filip Jorgensen sebelum rehat dan Enzo Crivelli tampil dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kedua Servette dengan berbaki 18 minit. Servette menang 2-1, tetapi Chelsea mara menerusi agregat 3-2.

“Dalam setengah jam pertama kami menjaringkan gol dan kami mempunyai tiga atau empat peluang yang jika disempurnakan, perlawanan ini berakhir, kemudian kami melepaskan gol,” kata jurulatih Chelsea, Enzo Maresca. “Akhirnya, kami berhak mara.

“Perlawanan sebegini pada akhirnya, anda mempunyai banyak perkara untuk kalah dan tidak banyak perkara untuk menang.”

Naib juara tahun lalu Fiorentina terselamat sekalipun dilayangkan dua kad merah sebelum mengalahkan Puskas Akademia menerusi penentuan penalti di Felcsut.

Fiorentina mensia-siakan pendahuluan dua gol pada aksi pertama dan melakukan perkara sama awal pagi tadi. Moises Kean membantu mereka mendahului pada minit ke-59 kemudian disiplin Fiorentina hancur.

Pada minit ketujuh masa kecederaan Luca Ranieri mengasari pemain gantian Lamin Colley sekali gus menghadiahkan lawan penalti dan menerima kad merah. Zsolt Nagy menyempurnakan penalti untuk memaksa perlawanan bersambung dalam masa tambahan.

Pada minit ke-97, Pietro Comuzzo meraih kad kuning kedua, kedua-duanya kekasaran ke atas pemain Inggeris, Colley.

Fiorentina beraksi baki masa tambahan dengan sembilan pemain dan menang penentuan sepakan penalti 5-4 selepas penjaga gol David de Gea menyelamatkan sepakan Roland Szolnoki.
-AFP
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427