MANCHESTER: Pengendali Liverpool, Arne Slot menikmati permulaan terhebat di Anfield tetapi dia mendakwa pasukannya masih belum bertemu pasukan kelompok atas, dan ia bakal bermula dengan kunjungan Chelsea esok.
Slot, pengendali Liverpool pertama memenangi sembilan daripada 10 perlawanan pertamanya, perlu mengharungi jadual padat dan pada masa sama memastikan kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris tidak terjejas.
Liverpool mengumpul 18 mata selepas tujuh perlawanan, meledak 13 gol dan hanya dibolosi dua kali, untuk mengatasi Manchester City dan Arsenal dengan satu mata, manakala Chelsea di tangga keempat pada 14 mata.
“Saya lihat kedudukan liga dan berfikir, pasukan mana yang sudah kami temui sehingga sekarang dan di mana kedudukan mereka? Adakah mereka di kelompok atas atau bawah?
“Banyak pasukan kuat yang masih perlu kami hadapi, kemudian baru kita lihat di mana kedudukan kami dalam jumlah dibolosi. Mungkin jadual berpihak kepada kami berdasarkan kedudukan liga,” kata Slot.
Chelsea menang kesemua tiga perlawanan liga di tempat lawan musim ini dengan 10 gol berbanding dua bolos.
Liverpool bakal mengharungi 10 perlawanan dalam tiga pertandingan termasuk kunjungan ke Arsenal pada 27 Oktober dan melayan kunjungan Manchester City di Anfield pada 1 Disember, ketika penjaga gol utama, Alisson tidak dapat beraksi.
Penjaga gol Brazil itu cedera hamstring dan dijangka hanya akan beraksi menentang Southampton pada 24 November.
Slot bagaimanapun yakin, penjaga gol simpanan, Caoimhin Kelleher mampu memikul tugas penting di gawang Liverpool.
-REUTERS
-BeritaHarian