Calon WARISAN, BN serah borang

Estimate Reading Time: < 1 minute

BEAUFORT: Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin, masing-masing menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebentar tadi.

Karim yang juga Ketua Bahagian WARISAN Kimanis menyerahkan borang pada jam 9.13 pagi manakala Mohamad yang memegang jawatan Ketua UMNO Kimanis menyerahkan borang pada jam 9.09 pagi.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengetuai perarakan mengiringi Karim ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, di sini.

Ribuan penyokong WARISAN berarak kira-kira satu kilometer dari Kompleks Sukan Beaufort, di sini, bermula jam 9 pagi tadi sebelum berkumpul di perkarangan dewan.

Sementara itu, calon BN pula berarak dari hadapan SMK Beaufort, di sini, dengan diiringi beberapa pemimpin BN dan UMNO, antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Cuaca yang sedikit redup pagi ini memberi kelebihan kepada peserta perarakan kedua-dua calon.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, terbatal kerana pelanggaran peraturan pilihan raya.

Berikutan itu, SPR menetapkan penamaan calon pada 4 Januari dan hari mengundi 18 Januari.

Anifah yang mewakili BN menewaskan calon WARISAN, Karim, dengan majoriti 156 undi. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427