Cakna perubahan warga emas, elak kemurungan – Pakar

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Gejala kemurungan dalam kalangan warga emas harus diambil perhatian serius bagi memastikan mereka dapat menikmati usia senja secara positif dan produktif, kata pakar.

Menurut pakar Psikogeriatik Hospital Sultanah Nur Zahirah Dr Layuza Aliasad, ini kerana berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2018 mendapati, seorang daripada 10 warga emas di Malaysia mempunyai gejala kemurungan.

Beliau berkata, keadaan pandemik COVID-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia ketika ini secara tidak langsung meningkatkan lagi kecenderungan untuk warga tua mengalami kemurungan kerana tidak dapat bertemu dengan anak dan cucu yang tinggal berjauhan dengan mereka.

“Kemurungan dalam kalangan warga emas sukar didiagnosis berbanding golongan dewasa kerana golongan dewasa lebih terbuka untuk mengakui bahawa mereka sedang berasa sedih atau murung,” katanya kepada Bernama.

Selain itu katanya, kesukaran lain bagi menilai warga emas menghidapi gejala atau penyakit kemurungan adalah kebanyakan mereka akan mengalami hilang selera, turun berat badan serta sering merasa letih dan ciri-ciri itu sama seperti golongan yang menghidapi penyakit kronik pada usia mereka.

Beliau berkata, antara ciri-ciri lain kemurungan adalah sering berasa sakit-sakit badan tanpa punca yang jelas, hilang minat untuk beraktiviti dan berdandan serta kurang memberi tumpuan yang menjadikan mereka mudah lupa

“Masyarakat kadangkala tersalah menafsirkan bahawa seseorang warga tua itu sudah nyanyuk kerana ada kemungkinan gejala kemurungan yang dialami menyebabkan individu itu tidak memberi tumpuan kepada sesuatu perkara dan menyebabkannya menjadi pelupa,” katanya.

Namun katanya, adalah penting untuk ahli keluarga menilai setiap perubahan yang dialami orang tua mereka dan perlu sentiasa memberi sokongan emosi dengan tidak membiarkan mereka merasa kesunyian selain mendapatkan rawatan di hospital.

Menurutnya, banyak faktor yang menyebabkan warga emas mengalami kemurungan antaranya ialah menghidapi penyakit kronik, perubahan fizikal seperti amputasi (potong) anggota badan disebabkan komplikasi penyakit kencing manis yang tidak terkawal dan pengambilan ubat tradisional yang mengandungi steroid tanpa kawalan serta sejarah ahli keluarga yang pernah menghidap kemurungan.

Dr Layuza berkata, apa yang penting adalah warga emas itu sendiri perlu mencegah gejala kemurungan dengan mengurangkan risiko itu melalui amalan gaya hidup sihat termasuk senaman yang bersesuaian, makan makanan seimbang dan hendaklah selalu berinteraksi dengan ahli keluarga dan masyarakat sekitar.

“Walaupun berhadapan dengan kekangan pandemik COVID-19 yang menjarakkan keluarga kita, penggunaan teknologi harus digunakan sebaiknya dengan berbual dengan ahli keluarga menerusi telefon secara tidak langsung membantu menyeimbangkan keperluan emosi kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada 2018 selain warga emas, golongan lain yang lebih cenderung mengalami kemurungan ialah individu yang tidak mempunyai pasangan hidup termasuk bujang, duda, janda serta mereka yang kehilangan pasangan.

Tambahnya, tinjauan yang sama juga mendapati gejala kemurungan lebih cenderung dihidapi kalangan kaum wanita dan masyarakat yang berada di luar bandar.

-BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427