Bursa Malaysia kembali melonjak atas 1,400 mata

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada sesi awal urus niaga, mengikuti rapat prestasi Wall Street semalaman yang kembali pulih, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.02 mata kepada 1,404.64 daripada 1,397.62 penutup Isnin.

Indeks penanda aras dibuka 6.14 mata lebih baik pada 1,403.76.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 282 berbalas 62, manakala 156 kaunter tidak berubah, 1,853 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 119.91 juta unit bernilai RM68.64 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat pasaran serantau termasuk bursa tempatan seharusnya bergerak tinggi hari ini berikutan lantunan ketara prestasi Wall Street pada hari Isnin.

Bagi komoditi pula, harga minyak mentah mula menunjukkan peningkatan dengan diniagakan melepasi paras AS$88 setong, manakala harga minyak sawit mentah berlegar sekitar RM3,480 satu tan.

“Minyak mentah yang meningkat boleh melonjakkan kaunter tenaga dalam jangka masa terdekat. Selain itu, dengan Nasdaq kembali pulih, saham teknologi sedia untuk mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Di pasaran domestik, firma pembrokeran itu percaya pelabur akan memberi tumpuan kepada pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada Jumaat ini 7 Oktober.

Justeru, paras rintangan bursa dianggarkan sekitar 1,410 hingga 1,430 manakala sokongan pada 1,365 hingga 1,370.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa seperti Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals, semuanya menokok satu sen setiap satu untuk mencatatkan harga RM8.61, RM4.26 dan RM8.40.

CIMB pula menambah lima sen kepada RM5.17 tetapi IHH Healthcare susut tiga sen kepada RM5.86.

Bagi saham aktif, Vinvest Capital menambah satu sen kepada 19.5 sen, Pertama Digital naik dua sen menjadi RM1.55, Cnergenz menokok 4.5 sen kepada RM1.04 dan Scomi Energy Services mengembang 2.5 sen kepada tujuh sen manakala SNS Network Technology tidak berubah pada 27 sen.

Di papan indeks, indeks FBM Emas mengembang 58.14 mata kepada 10,025.54, Indeks FBM 70 meningkat 97.66 mata menjadi 12,186.45 dan Indeks FBMT 100 melonjak 55.89 mata kepada 9,778.85.

Sementara itu, Indeks FBM Emas Syariah meraih 67.24 mata kepada 10,062.34 dan FBM ACE memperoleh 22.03 mata kepada 4,674.14.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga adalah 13.05 mata lebih tinggi pada 687.30, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 40.12 mata menjadi 15,983.33, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menmbah 1.01 mata kepada 169.67 dan Indeks Perladangan mengembang 16.13 mata kepada 6.525.12.

-BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427