Bursa Malaysia jatuh bersama prestasi Wall Street

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini rendah sejajar dengan pergerakan bursa serantau dan prestasi semalaman Wall Street yang lebih lemah, kata seorang peniaga.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.54 mata kepada 1,439.01 daripada penutupan Selasa pada 1,445.55.

Indeks utama dibuka pada paras 1,440.86, susut 4.69 mata.

Di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 260 berbalas 127, manakala 270 kaunter tidak berubah, 1,730 tidak diniagakan dan 100 digantung.

Jumlah dagangan 246.94 juta unit bernilai RM115.94 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Eekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, Wall Street mengalami kerugian ketara semalaman berikutan kemunculan kebimbangan baharu mengenai keadaan ekonomi Amerika AS yang tercetus selepas pengumuman laporan jualan dan keyakinan pengguna yang mengecewakan.

Indeks Dow Jones merosot 388 mata manakala Nasdaq jatuh 207 mata.

“Niaga hadapan minyak mentah Brent masih tinggi melepasi paras AS$92 setong dan saham minyak dan gas diunjur menarik tumpuan pelabur.

“Justeru, kami menjangkakan sentimen di bursa tempatan akan berhati-hati dan indeks utama diramal berlegar sekitar 1,440 hingga 1,450 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing turun dua sen untuk mencatatkan harga RM8.85 dan RM4.17, CIMB susut satu sen menjadi RM5.54, Petronas Chemicals lemah 10 sen kepada RM7.23 dan Tenaga Nasional lebih rendah tiga sen kepada RM9.91.

Bagi saham aktif, Tanco dan Ekovest merosot setengah sen untuk mencatatkan 54.5 sen dan 57 sen setiap satu, Kinergy susut satu sen kepada 33.5 sen manakala Icon dan DGB masing-masing menokok setengah sen kepada 11.5 sen dan 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 41.60 mata kepada 10,668.04, Indeks FBMT 100 turun 41.51 mata menjadi 10,331.98 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 40.84 mata kepada 10,925.30.

Indeks FBM 70 menguncup 33.51 mata kepada 14,230.86 dan Indeks FBM ACE susut 23.50 mata kepada 5,174.33.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.02 mata kepada 173.19, Indeks Perladangan susut 11.13 mata kepada 6,896.13 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lemah 67.55 mata kepada 16,120.97.

Indeks Tenaga naik 0.87 mata kepada 889.70.

-BERNAMA
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427