Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini walaupun prestasi di Wall Street agak mendatar pada Jumaat minggu lalu selain daripada hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang lemah.

Pelabur masih lagi mencerna laporan pekerjaan AS yang lebih rendah daripada jangkaan untuk ekonomi terbesar dunia itu dengan hanya penambahan 235,000 pekerjaan pada bulan Ogos, jauh lebih rendah daripada peningkatan 720,000 yang diunjurkan sebelum ini.

Pada jam 9.22 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.55 mata kepada 1,589.74 berbanding penutupan Jumaat minggu lalu pada 1,589.19

Indeks utama dibuka 1.48 mata lebih tinggi pada 1,590.67.

Pergerakan harga di pasaran masih positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 328 berbalas 262 manakala 362 kaunter tidak berubah, 1,286 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 721.03 juta unit bernilai RM335.99 juta.

Kenanga Research menyatakan pada minggu lalu, indeks utama FBM KLCI bergerak dari setinggi 1,605 pada Rabu ke paras terendah 1,580 pada Jumaat sebelum mengakhiri urus niaga pada 1,589, sedikit berubah daripada penutupan minggu sebelumnya iaitu 1,590.

Dari perspektif teknikal, selepas melonjak 99.4 mata atau 6.7 peratus dalam tempoh empat minggu, indeks komposit itu mungkin akan memperluas corak penstabilannya dengan menjuruskan kepada sedikit penurunan dalam bergerak ke hadapan, katanya.

Sementara menurut Malacca Securities Sdn Bhd pula, pelabur mungkin menantikan data kadar pengangguran Malaysia dan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar faedah yang akan dikeluarkan pada hari Khamis.

Dalam pada itu, harga minyak sawit mentah (MSM) meneruskan peningkatannya untuk ditutup melepasi paras RM4,300, harga emas mengukuh sementara harga minyak mentah pula menurun.

Bagi sektor fokus pula, ia berkata dengan harga MSM terus bertahan di atas paras RM4,300, pelabur boleh membuat pegangan dalam kaunter perladangan.

“Selain itu, minat perdagangan dalam sektor tema pemulihan seperti perbankan, pembinaan, bahan bangunan dan pengguna serta pengangkutan dan logistik akan kekal seiring dengan kemajuan vaksinasi yang sedang berlangsung,” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi pasaran, Maybank naik tiga sen kepada RM8.39, Petronas Chemicals menambah dua sen kepada RM8.26, IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM6.38, manakala Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing susut dua sen kepada RM4,11 dan RM10.34.

Bagi saham aktif, Emico naik 10 sen kepada 47 sen, Vortex, Avillion dan KNM masing-masing menokok setengah sen kepada 8.5 sen, 13.5 sen dan 28 sen, sementara Bina Puri tidak berubah pada enam sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas untung 11.25 mata kepada 11,606.23, Indeks FBMT 100 meningkat 8.48 mata pada 11,301.47, dan Indeks FBM Emas Syariah naik 15.24 mata kepada 12,709.99.

FBM 70 meningkat 32.70 mata kepada 15,132.95 sementara FBM ACE merosot 49.34 mata kepada 7,202.44.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 3.53 mata kepada 6,703.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.92 mata kepada 200.84 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 11.02 mata kepada 15,525.75.

-BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427