Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatat peningkatan kecil pada awal dagangan Selasa ketika sentimen pasaran pulih, didorong oleh jangkaan terhadap pakej rangsangan di Amerika Syarikat dan China selain faktor penurunan angka harian kes COVID-19, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.44 mata kepada 1,493.44 daripada 1,493.0 pada akhir dagangan Isnin.

Sewaktu pasaran dibuka, indeks penanda aras itu naik 0.15 mata kepada 1,493.15.

Perkembangan COVID-19 menyaksikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata jumlah kes harian di Malaysia berkurangan pada Isnin kepada 15,764 kes berbanding 17,150 kes pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 175 berbanding 159 manakala 247 kaunter tidak berubah, 1,591 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 209.27 juta unit bernilai RM107.34 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata para pelabur dijangka lebih berhati-hati dalam memilih kaunter saham berikutan ketidaktentuan politik yang kian ketara walaupun terdapat kepentingan pembelian saham syarikat yang mempunyai prospek positif ketika musim pelaporan pendapatan korporat akan datang.

“Oleh kerana kaunter teknologi melaporkan prestasi memberangsangkan baru-baru ini, aliran peningkatan itu dijangka berterusan dan berkemungkinan turut dialami sektor berkaitan lain seperti kaunter penggiat perkhidmatan pembuatan elektronik.

“Pelabur dijangka melakukan dagangan secara berhati-hati dengan paras sokongan seterusnya pada 1,480 dan 1,450 manakala paras rintangan pada 1,500,” katanya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank masing-masing naik satu sen kepada RM8.00 dan RM3.98, Tenaga menambah dua sen kepada RM9.65 manakala PetChem tidak berubah pada RM8.05.

IHH sebaliknya susut tujuh sen kepada RM5.65 berikutan penurunan kes COVID-19 harian.

Bagi saham aktif, Fitters menokok dua sen kepada 38 sen, Greenyield menambah setengah sen kepada 38.5 sen, Emico naik lapan sen kepada 38.5 sen, YGL meraih satu sen kepada 31 sen manakala YLI meningkat 12.5 sen kepada 54.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 2.25 mata kepada 10,987.91, Indeks FBMT 100 meningkat 2.17 mata kepada 10,694.3 manakala FBM ACE menokok 2.26 mata kepada 7,089.19.

Bagaimanapun, FBM 70 susut 0.68 mata kepada 14,619.15 dan Indeks Syariah FBM Emas turun 4.56 mata kepada 12,066.71.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 15.68 mata kepada 14,684.23, Indeks Perladangan menokok 8.16 mata kepada 6,017.4 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.18 mata kepada 188.0.

– Bernama -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427