ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas pemandu lori daripada tuduhan membunuh abang kandungnya selepas mendapati lelaki itu tidak berada dalam keadaan waras semasa melakukan perbuatan itu, lima tahun lalu.
Bagaimanapun Hakim, Datuk Ghazali Cha memerintahkan Mohd. Khairul Perbakaran, 57, ditahan secara selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak selama tempoh diperkenankan Sultan Kedah.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Khairul yang merupakan seorang mualaf didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 5 petang, 11 September 2016 di premis beralamat No. 23, Kampung Kelapa, Batu 8, Lunas dekat Kulim.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Sharifah Syazwani Syed Hussin manakala tertuduh diwakili peguam, Ali Munawar Razak.
Sepanjang perbicaraan, pihak pembelaan mengemukakan tiga saksi iaitu jiran, isteri dan seorang pakar perunding psikiatri forensik dari Hospital Permai, Johor Bahru.
Dalam penghakimannya, Ghazali berkata, mahkamah tidak dapat menolak peranan saksi ketiga iaitu pakar perunding psikiatri tersebut di atas penemuannya mengenai penyakit dihadapi tertuduh.
Saksi tersebut menerusi penilaian yang dibuat terhadap maklumat diterima, temu bual serta pemerhatian dilakukan berpendapat bahawa tertuduh menghadapi sejenis penyakit mental iaitu skizofrenia.
Oleh itu pakar tersebut berpendapat semasa kejadian berlaku, tertuduh adalah dalam keadaan tidak waras serta tidak sedar akan akibat daripada perbuatannya itu yang menyalahi undang-undang.
Menurut Ghazali lagi, keterangan jiran dan isterinya yang menyatakan tertuduh berkelakuan aneh serta pelik sebelum kejadian, adalah saling menyokong keterangan pakar berkenaan.
“Dengan itu, mahkamah membuat kesimpulan bahawa, Mohd. Khairul telah mengalami ilusi atau merasakan dirinya terancam oleh semua orang dan secara kebetulan abangnya iaitu si mati, berada di lokasi kejadian pada masa itu,” katanya.–UTUSAN