Buku ‘6 Prinsip Kecemerlangan Pertubuhan Peladang’ mantapkan pengurusan PP

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 1 April — Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan menggunakan buku  ‘6 Prinsip Kecemerlangan Pertubuhan Peladang (CAMEL-T)’  sebagai panduan dan rujukan ke arah pemantapan pengurusan dan pentadbiran Pertubuhan Peladang (PP).

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid berkata buku itu menyediakan formula tindakan ke arah kualiti pengurusan yang cekap dan berkesan dalam konteks audit pengurusan bagi mencapai piawaian pengurusan lima bintang.

Buku setebal 228 muka surat itu boleh dijadikan rujukan oleh semua peringkat pengurusan di PP khususnya pengurus besar yang baru dilantik bagi mengurangkan risiko salah tadbir dan kecuaian pematuhan undang-undang, katanya.

“Ini secara langsung dapat mengelakkan salah guna kuasa dan ketirisan dalam pengurusan yang boleh menyebabkan kerugian entiti LPP dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya kepada media selepas melancarkan buku tersebut di sini semalam.

“Hasrat buku ini diterbitkan adalah untuk memberi penerangan yang jelas kepada PP apa tindakan yang perlu dilaksanakan selaras dengan pematuhan undang-undang serta ingin memberi kefahaman tentang justifikasi untuk setiap tindakan dan kesannya jika tidak dilaksanakan,” katanya.

Pengerusi LPP Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata buku itu  adalah sebagai ‘kamus’ mengurus PP selari dengan akta, peraturan dan pekeliling berkaitan.

Beliau berkata buku itu akan membantu PP memfokus kepada pematuhan undang-undang dan peraturan asas serta kritikal yang berkait dengan rutin kerja harian PP.

Nik Muhammad berharap buku tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh 294 PP kawasan dengan hampir sejuta ahli untuk menjadi badan mengurus yang cekap dan telus.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427