“Hasil kajian itu mendapati BPA dikesan dalam air kencing 92 peratus peserta dewasa dari 11 negara Eropah,” katanya dalam satu laporan baharu, semalam.
Menurut agensi berpangkalan di Copenhagen itu, antara 71 hingga 100 peratus golongan dewasa terbabit dalam kajian di 11 negara berkenaan, didapati mencatat paras kandungan melebihi tahap maksimum disyorkan dalam penetapan digariskan Agensi Keselamatan Makanan Eropah (EFSA) susulan semakan semula pada April lalu.
Semakan semula ketika itu menyaksikan EFSA menurunkan secara drastik hingga 20,000 kali ganda terhadap kadar disyorkan bagi pengambilan harian maksimum BPA yang dibenarkan untuk pengguna.
BPA pernah digunakan dalam pembuatan botol susu bayi sehinggalah ia diharamkan di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain kira-kira sedekad lalu.
Bagaimanapun, bahan kimia itu masih diguna bagi menghasilkan plastik dalam pembuatan sebilangan pembungkus makanan dan minuman.
Ini sekali gus bermakna sebahagian besar masyarakat berpotensi terdedah kepada BPA ketika mengambil makanan dan minuman daripada bungkusan terbabit.
Penyelidikan sebelum ini telah mengesyorkan BPA mempunyai kaitan dengan pelbagai masalah kesihatan membabitkan gangguan hormon, seperti kanser payudara dan ketidaksuburan.
Setakat ini, Perancis adalah satu-satunya negara yang mengharamkan sepenuhnya penggunaan BPA. Kesatuan Eropah (EU) dan AS pula mengehadkan penggunaan bahan kimia itu tetapi merancang untuk mengurangkannya lagi.
Namun, Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) menyanggah tahap baharu yang ditetapkan EFSA bagi pengambilan harian maksimum BPA tanpa memberi risiko terhadap kesihatan manusia.
Agensi itu mengkritik metodologi EFSA yang disifatkan sebagai bertindak terlalu terburu-buru, memandangkan kaitan penyebab itu belum terbukti dalam kajian ke atas haiwan atau manusia.
Sebaliknya, EEA pula merumuskan pendedahan orang ramai kepada BPA adalah jauh melangkaui tahap boleh diterima untuk keselamatan kesihatan, menurut data penyelidikan yang dikemas kini.
“Ini menimbulkan potensi risiko kesihatan terhadap berjuta-juta orang,” katanya.
Paras kandungan Bisphenol A, S dan F diukur dalam air kencing 2,756 orang di 11 negara sepanjang tempoh antara 2014 hingga 2020.
Negara terbabit ialah Croatia, Republik Czech, Denmark, Perancis, Finland, Jerman, Iceland, Luxembourg, Poland, Portugal dan Switzerland.
Menurut EEA, Switzerland merekodkan tahap paling rendah yang mana 71 peratus peserta kajian itu dikesan melebihi tahap maksimum disyorkan, manakala Perancis, Luxembourg dan Portugal pula mencatat 100 peratus.
“Apa yang dilaporkan itu adalah angka minimum. Wujud kebarangkalian bahawa sebenarnya kesemua 11 negara terbabit mencatat kadar 100 peratus pendedahan melebihi tahap selamat,” demikian disimpulkan EEA.
– AFP
-BeritaHarian