Bot bawa migran terbalik, tiga maut

Estimate Reading Time: < 1 minute

LOS ANGELES: Sebuah bot penyeludup yang membawa muatan berlebihan terbalik sebelum pecah selepas melanggar tebing berhampiran pinggir laut California, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Pihak berkuasa memaklumkan, insiden itu meragut tiga nyawa serta menyebabkan 27 individu lain dimasukkan ke hospital akibat pelbagai kecederaan.

Video kejadian yang memaparkan insiden yang berlaku berhampiran San Diego itu menunjukkan semua individu yang menaiki bot sepanjang 12 meter itu terjun ke laut yang bergelora.

Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Perlindungan Kastam dan Sempadan Awam, Jeffery Stephenson mengesahkan kepada media bahawa bot yang terbalik itu digunakan untuk menyeludup.

“Ia adalah bot penyeludupan. Ejen Kawalan Sempadan sedang bersama seorang lelaki yang dipercayai sebagai pengendali.

“Penyeludup tidak kisah mengenai nyawa manusia yang dieksploitasi. Mereka hanya fikirkan keuntungan. Mereka tidak miliki kelengkapan keselamatan mencukupi dan bot itu melebihi muatan,” katanya.

Stephenson berkata, individu yang menaiki bot berkenaan dipercayai adalah migran yang cuba masuk ke AS secara haram.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat San Diego, Jose Ysea memaklumkan semua 27 individu yang terselamat dibawa ke hospital akibat pelbagai kecederaan.

Pasukan tindak balas kecemasan melaksanakan tujuh penyelamatan di air serta satu di tebing, kata Ketua Pasukan Penyelamat San Diego, James Gartland.

Insiden terbabit berlaku ketika AS bergelut dengan gelombang besar kemasukan pendatang asing tanpa dokumen di sempadan selatan negara itu.

Pihak berkuasa dan migran memaklumkan, kemasukan besar-besaran itu dicetuskan oleh peningkatan jumlah kemiskinan dan keganasan di Amerika Tengah, selain janji Presiden AS, Joe Biden untuk melaksanakan dasar lebih berperikemanusiaan terhadap imigran.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427