KUANTAN- Seorang warga emas menemukan sebutir bom tangan dipercayai tinggalan zaman perang di belakang rumahnya di Jerantut Feri di Jerantut, semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan berkata bom itu ditemukan oleh Jamaluddin Sulaiman, 61, pada kira-kira 11 pagi semasa melakukan kerja mengukur tanah di situ.
“Pengadu mendakwa menemui objek besi seakan bom semasa proses mengorek tanah dan terus membuat laporan di Balai Polis Jerantut Feri kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata bom itu tidak dapat dipastikan jika masih aktif atau tidak, namun telah dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di kawasan selamat pada petang semalam.- BERNAMA