Bayan Lepas: Kerajaan Persekutuan tiada sekatan sekiranya kerajaan negeri atau pihak tertentu mahu membeli sendiri vaksin Covid-19.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, namun, pembelian itu perlu mengikut beberapa syarat selain mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Beliau berkata, sekiranya pihak berkaitan mahu membeli daripada pembekal sama yang membekalkan vaksin kepada Kerajaan Persekutuan, mereka perlu menunggu sehingga program vaksinasi selesai terlebih dahulu.
“Misalnya mahu beli Sinovac, bila program sudah selesai, kita tiada masalah tetapi bekalan kepada Kerajaan Persekutuan perlu diselesaikan dahulu, selepas itu barulah mereka boleh beli.
“Kalau mereka hendak beli daripada pembekal lain yang bukan menjadi pembekal kepada Kerajaan Persekutuan, itu pun tidak menjadi halangan,” katanya kepada media semalam.
Dalam perkembangan lain, Khairy Jamaluddin berkata, terdapat vaksin lain yang mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tetapi tidak dibeli oleh Kerajaan Persekutuan.
Namun sekiranya ada pihak atau kerajaan negeri mahu berunding dan membeli vaksin itu, mereka perlu mendaftar dengan NPRA.
“Ada vaksin lain sudah mendapat kelulusan WHO seperti Sinopham dan Moderna yang tidak dibeli Kerajaan Persekutuan, tetapi jika kerajaan negeri hendak bawa masuk vaksin jenis itu, boleh, cuma perlu mendaftar dengan NPRA.
“Memang tiada sekatan cuma itulah undang-undang kita, begitu juga jika ada hospital swasta yang mahu beli, perlu mengikut langkah yang sama,” katanya.
Setakat ini, tiga jenis vaksin yang sudah mendapat kelulusan NPRA adalah Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.
Pada masa sama, Khairy Jamaluddin berkata, orang ramai dinasihati datang ke PPV pada waktu yang ditetapkan bagi mengelak berlaku kesesakan.
“Ada yang datang dua jam lebih awal hingga menyebabkan kesesakan di PPV dan kita tidak mahu ia menjejaskan kesihatan atau keselamatan penerima bagi mendapatkan vaksin,” katanya.-METRO