BN Sabah akan cadang nama calon TPM

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU, 27 Okt 2022 (The Capital Post): Barisan Nasional (BN) Sabah akan mencadangkan nama calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam kalangan pemimpin Sabah, yang dikenal pasti layak menggalas jawatan nombor dua Kerajaan Persekutuan itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata langkah itu sejajar komitmen BN melaksanakan manifestonya, termasuk berkaitan jawatan TPM dari Sabah yang dicadang Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada program Gelombang Biru BN di Kimanis, akhir minggu lalu.

Bung Moktar berkata, jawatan TPM dari Sabah yang akan dimasukkan dalam Manifesto BN Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bukan hanya gelaran atau sekadar nama jawatan bagi memikat hati rakyat Sabah.

“BN Sabah sedia mencadangkan calon TPM yang berwibawa, fokus kepada tugas sebagai TPM bagi membawa suara rakyat Sabah terutamanya dalam aspek pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan kebajikan.

“TPM dari Sabah bukan gelaran semata-mata tetapi diberikan kuasa menentukan apa juga program berkaitan pembangunan di Sabah kerana perkara ini yang amat kita perlukan di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah, yang mendakwa lebih awal memasukkan jawatan TPM untuk Sabah dan Sarawak dalam manifesto mereka.

PH mendakwa perkara itu sepatutnya diumumkan pada pelancaran manifesto PH, namun terpaksa disebut lebih awal apabila Ahmad Zahid mengumumkan tiga jawatan TPM, masing-masing mewakili Semenanjung, Sabah dan Sarawak jika BN menang dominan pada PRU15.

Mengulas lanjut, Bung Moktar, yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata cadangan PH mengenai jawatan TPM bukan perkara baharu, namun tidak dilaksanakan meskipun berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Kita mengakui memang parti pembangkang Sabah, PH dan lain-lain ada membuat cadangan awal mengenai jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak tapi ia gagal dilaksanakan.

“Ini kerana mereka tidak konsisten, selain tiada kesepakatan dalam kepemimpinan PH sendiri menyebabkan cadangan mereka gagal dilaksanakan.

“Lagipun bagi PH, manifesto atau janji mereka bukan `kitab suci’, berbeza dengan BN, apa yang kita kata, mesti dikota,” katanya.

Pada program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Zon 3 Sabah di Kimanis pada Ahad lalu, Ahmad Zahid meminta Bung Moktar supaya memasukkan jawatan TPM dari Sabah dalam manifesto khusus untuk Sabah bagi PRU15.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427