BERSIH minta SKMM jelaskan kenapa UtusanTV disekat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: BERSIH meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan mengenai dakwaan satu lagi portal berita, UtusanTV disekat kepada pengguna di Malaysia kerana dikatakan melanggar undang-undang negara.

“Sekatan ke atas laman sesawang UtusanTV.com perlu ditarik segera. Jika ada sebarang isu terhadap kandungan daripada sesebuah organisasi media, satu proses yang telus perlu ada melalui surat tunjuk sebab dan peluang merayu sebelum sebarang sekatan dibuat,” kata BERSIH dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan kerajaan menyekat akses ke laman sesawang UtusanTV.com kepada sesetengah pengguna di negara ini.

Akses ke laman web itu tertera notis yang menyatakan ‘laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara.’

Sehubungan itu, BERSIH menuntut supaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, iaitu mempertahankan kebebasan bersuara dan melindungi kebebasan media.

Menurut BERSIH, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15, PH dinafikan akses kepada platform media kerajaan dan sebarang laporan terhadap mereka oleh media berkenaan adalah serong serta buruk.

“Manifesto PH ketika PRU itu adalah menjanjikan kebebasan media dan menghapuskan peruntukan zalim dalam akta yang boleh disalah guna untuk menghalang kebebasan bersuara seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Percetakan dan Penerbitan 1984.

“Tindakan sebegini (sekatan) adalah serupa dengan sekatan zaman (Datuk Seri) Najib Razak yang menyekat portal berita dan laman sesawang BERSIH yang kritikal terhadap kerajaan beliau.

Mengulas lanjut, BERSIH berkata, walaupun ada rakyat Malaysia yang menyokong tindakan sekatan terbabit kerana kontroversi isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R), namun ekstremisme hanya boleh dicegah melalui langkah yang sah, bersasar dan adil, serta menggalakkan perbahasan yang sihat dan konstruktif.

“Penanda utama kepada demokrasi adalah akses media yang bebas dan adil kepada semua parti politik, namun Malaysia malangnya tidak pernah menyaksikan media yang adil dalam pilihan raya.

“Kerajaan Perpaduan yang dipimpin PH berterusan menganggap media penyiaran awam milik kerajaan sebagai aset peribadi mereka dan menafikan pandangan yang kritikal daripada pembangkang untuk disiarkan,” dakwa BERSIH.

BERSIH turut berharap, stesen media kerajaan seperti BERNAMA dan RTM akan memberikan siaran percuma kepada semua pemimpin gabungan politik di peringkat negeri bagi mengemukakan manifesto mereka, liputan yang saksama dan menganjurkan debat politik antara gabungan serta parti.

Pada era kebolehcapaian media sosial ini, cubaan untuk mana-mana kerajaan menghalang lawan mereka adalah sia-sia, sebaliknya Kerajaan Madani perlu menggalakkan wacana terbuka di media milik kerajaan supaya rakyat Malaysia dapat menilai sendiri kepelbagaian pandangan serta ideologi.

BERSIH turut menyarankan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi menganjurkan pendengaran awam bagi mendapatkan pandangan untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia bagi pendemokrasian operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

UtusanTV.com ditubuhkan bekas kakitangan Utusan Malaysia selepas syarikat induknya Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ditutup pada 2019 kerana masalah kewangan.

Bagaimanapun, UtusanTV.com tiada kaitan dengan Utusan Malaysia yang dilancarkan semula pada 2020 dan syarikat penerbitan akhbar itu, Media Mulia Sdn Bhd.

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427