Bersedekah pada Ramadan raih ‘bonus khas’

Estimate Reading Time: 2 minutes

RAMADAN adalah sebaik-baik bulan untuk merebut dan meraih ‘bonus khas’ yang tidak terdapat dalam bulan lain.

Antara amalan boleh dilakukan adalah bersedekah. Justeru, amat wajar umat Islam menyediakan bajet khusus untuk bersedekah seperti memberi sumbangan makanan kepada orang puasa.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi).

Kita hendaklah mengambil peluang dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk jiran tetangga, rakan sekerja dan penduduk kariah. Usaha ini juga boleh diperluaskan dengan memberi sumbangan kewangan kepada kaum kerabat dan masyarakat setempat yang miskin dan kesusahan di sepanjang Ramadan ini. Begitu juga kepada pihak masjid dan surau yang memerlukan dana untuk makanan berbuka kepada jemaah golongan yang bermusafir.

Pendek kata peluang untuk meraih ganjaran ini terbuka luas di depan mata, tinggal lagi bersediakah kita untuk melakukannya. Perlu juga diingat untuk bersedekah tidak semestinya banyak atau sudah berstatus kaya-raya. Setiap Muslim boleh bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Apa yang penting ia dibuat dengan niat ikhlas kerana Allah SWT supaya diterima amalan yang dilakukan.

Pernah suatu ketika sahabat yang miskin mengadu kepada Nabi Muhammad SAW mengenai orang kaya boleh melakukan segala aktiviti ibadah dan berpeluang pula bersedekah dengan harta dimiliki. Dalam sebuah riwayat Nabi SAW menyatakan bersedekahlah walau dengan sebiji tamar.

Selain daripada itu peluang untuk melakukan infak pada Ramadan amat terbuka luas. Terdapat rumah kebajikan, orang tua dan anak yatim yang sentiasa mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk keperluan warganya. Begitu juga terdapat tabung untuk pembinaan madrasah, sekolah tahfiz, masjid dan surau di seluruh negara yang sangat mengharapkan derma masyarakat.

Malah terdapat pula pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan tertentu yang memohon sumbangan bakul makanan untuk diagihkan kepada saudara miskin di dunia Islam secara amnya.

Justeru ternyata peluang bersedekah sangat luas jika kita mahu berbuat demikian.

Dalam pada itu diingatkan juga supaya setiap Muslim tidak lupa untuk membayar zakat fitrah yang diwajibkan kepada setiap orang Islam merdeka dan mampu mengeluarkannya untuk diri sendiri dan orang yang berada di bawah tanggungannya.

Disebutkan dalam riwayat bahawa zakat fitrah di dalam Ramadan sama seperti sujud sahwi di dalam solat yang menampung kekurangan berpuasa sebagaimana sujud sahwi menampung kekurangan dalam sembahyang. Ia juga tindakan mulia yang dapat membantu fakir dan miskin untuk sama-sama bergembira di Aidilfitri.

Justeru, bersihkanlah sifat bakhil dan kedekut yang merupakan sifat mazmumah menjelang Ramadan kali ini. Contohi akhlak Baginda Rasulullah SAW yang banyak bersedekah ketika Ramadan sehingga diibaratkan seperti angin yang sentiasa bertiup.

Semoga Ramadan kali ini lebih berkualiti berbanding sebelumnya dengan berazam untuk berpuasa sempurna disamping melakukan segala ketaatan untuk memperoleh keampunan daripada-Nya.

Dr Mohd Ali Muhamad Don,
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Johor

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427