BERNAS perlu jaga harga beras, bukan untuk berniaga untung gila-gila: Shahidan

Estimate Reading Time: 2 minutes

BENTONG: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang digelar ‘pakar beras’ oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN) mendakwa terdapat satu perjanjian berkait dengan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang ‘melarang’ kenaikan harga beras dalam pasaran negara.

Shahidan yang mengaku menjadi antara pelopor penubuhan BERNAS mendakwa, dalam perjanjian itu juga terkandung perkara seperti kebenaran untuk menyalurkan beras import kepada satu syarikat yang mana entiti itu kemudiannya dipertanggungjawabkan untuk membantu industri tempatan.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada perjanjian itu masih terpakai sekarang atau sebaliknya, ekoran berlaku perubahan dalam tampuk pengurusan dan pemilikan BERNAS ketika ini.

“Saya yang buat, saya yang tubuhkan (BERNAS) kemudian saya jual sebab arahan dan saya (dilantik) Menteri Besar (Perlis) pada 1995. Jadi saya sudah ada perjanjian dengan kerajaan bahawa tidak dibenarkan beras naik harga.

“Ini kerana beras itu bukan barang untuk orang mencari keuntungan. Ini adalah bahan makanan. Jika ada barang-barang lain, ambillah untung tetapi bukan beras.

“Saya nak kena tengok balik perjanjian itu. Tapi dalam perjanjian itu juga menyatakan beras import hanya diberi kepada satu syarikat untuk syarikat ini tolong industri tempatan.

“Kenapa naik harga beras import? Sebab ada orang berebut nak minta beras import tetapi orang itu tak ambil tanggungjawab untuk jaga beras tempatan,” katanya tanpa memperincikan siapa dan pihak mana.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) di Dataran Purnama di sini, malam tadi.

Shahidan mendakwa kebanyakan gudang padi sekarang adalah milik BERNAS dan entiti itu sewajarnya perlu menjaga harga beras di pasaran negara.

Sebaliknya, beliau mendakwa lain pula berlaku apabila beras menjadi satu urus niaga untuk meraih keuntungan yang berkali ganda.

“BERNAS sewajarnya perlu jaga harga beras, bukan untuk berniaga untung gila-gila. Dengan beras benda makan, rakyat terpaksa beli. Semiskin mana pun manusia kena makan nasi.

“Memang ada perjanjian (pasal harga beras). Saya dengan kerajaan pada masa itu, saya bagi tahu bahawa dia kata ini amanah datuk, tolong jaga.

“Saya kata ya (akan jaga). Tapi bila saya jual (BERNAS), orang nak beli cakap macam itu juga dia amanah, Islam dan sebagainya. (Sekarang) tak tahu apa yang jadi,” katanya.

Berbekalkan pengalaman luas dalam industri beras negara, Shahidan berkata beliau sanggup untuk berkongsi ‘formula’ harga beras kepada kerajaan.

Justeru, beliau mengalu-alukan pihak kerajaan untuk mengadakan perjumpaan dengannya bagi membincangkan mengenai ‘formula’ terbabit.

“Pasal harga beras, kerajaan nak minta formula, saya nak bagi formula. Saya nak minta mereka jumpa saya nak bagi formula sebab BERNAS saya yang buat (tubuhkan),” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427