Beregu campuran negara kempunan tamatkan kemarau 20 tahun emas

Estimate Reading Time: < 1 minute

MANILA- Beregu campuran badminton negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai (perempuan) terlepas peluang terbaik menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas, selepas tewas 1-2 kepada pasangan Indonesia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti, dalam aksi akhir di Sukan SEA ke-30, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan pasangan negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, yang dimenangi buat kali kedua berturut-turut, selepas kali pertama meraihnya dalam acara sama ketika di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Dalam set pertama yang berlangsung di Kompleks Sukan Muntinlupa, di sini, pasangan negara terdahulu bermula baik dengan mengutip beberapa mata awal.

Namun wakil Indonesia yang juga gandingan di ranking kelima dunia, bangkit mengimbangi permainan sebelum menang 21-19, dalam perlawanan yang berlangsung penuh sengit.

Pasangan Malaysia yang menghuni ranking ke-8 dunia tidak mahu mengalah awal, apabila tampil dengan pukulan lebih kemas untuk merampas kemenangan 21-19 pada set kedua.

Momentum itu bagaimanapun gagal diteruskan pada set ketiga, apabila beberapa kesilapan mudah yang dilakukan, menyaksikan pemain negara terpaksa menelan hakikat tewas tipis 21-23.

“Sewaktu penentuan untuk mata penting, mereka lebih bertuah daripada kami. Kami cuba untuk tenang dan fokus untuk kutip mata seterusnya, tetapi malangnya kami tak dapat juga nak memenangi perlawanan,” kata Soon Huat ketika ditemui media sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, Shevon akui perasaan gemuruh ketika kedua-dua pasukan terikat pada mata penentuan menjadi antara faktor yang turut menganggu rentak permainannya.

“Pada set pertama, saya tidak bersedia lagi, bagi set kedua dan ketiga, saya rasa saya dapat rentak, pada mata penentu, saya rasa dua-dua pihak gementar, dan dua-dua pihak mahu menang, namun dalam perkara itu, yang lebih baik menang,” katanya.

Kali terakhir beregu campuran meraih pingat emas di Sukan SEA ialah menerusi Chew Choon Eng-Chor Hooi Yee di Brunei pada edisi 1999.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427