PETALING JAYA: Kumpulan M40 bakal menyaksikan pendapatan boleh guna mereka meningkat kerana beberapa inisiatif dalam Belanjawan 2021.
Selain penurunan 1% cukai pendapatan untuk 2.91 juta isi rumah M40 yang berpendapatan antara RM50,001 dan RM70,000 setahun, Goh Lim Thye, pensyarah kanan ekonomi di Universiti Malaya, berkata kenaikan had pelepasan cukai untuk gaya hidup, daripada RM2,500 kepada RM3,000, akan memberi manfaat kepada kumpulan itu.
Beliau memuji kenaikan pelepasan cukai bagi mereka yang menanggung kos perubatan ibu bapa, dan menyambut baik peluasan pelepasan cukai untuk caruman Skim Persaraan Swasta dan mereka yang mendaftar dengan Skim Simpanan Pendidikan Nasional.
“Saya percaya kumpulan M40 akan sangat menghargai inisiatif ini memandangkan kesannya yang ketara pada pendapatan boleh guna,” katanya.
Goh berkata, Bantuan Prihatin Rakyat bernilai RM6.5 bilion, yang menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH), dan program bantuan pembayaran balik bersasar mulai Disember akan memberi manfaat kepada mereka yang terjejas pendapatan akibat wabak Covid-19 dalam jangka masa pendek.
Bantuan Prihatin Rakyat yang diperluas itu kini akan membantu sejumlah 8.1 juta individu B40, berbanding dengan bantuan tunai BSH yang memberi manfaat kepada 4.3 juta individu dengan jumlah peruntukan RM5 bilion.
Inisiatif utama lain yang diumumkan untuk M40 dalam belanjawan termasuk mengurangkan caruman pekerja KWSP daripada 11% kepada 9%, dan moratorium pinjaman bersasar selama 3 bulan, atau pengurangan pembayaran balik sebanyak 50% selama 6 bulan, bagi mereka yang memohon.
Untuk jangka panjang, Goh menyeru para usahawan mengambil bahagian dalam program latihan dan bantuan yang dijanjikan kepada 100,000 usahawan.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), menyambut baik lanjutan Program Subsidi Upah untuk lagi 3 bulan, kreana ia akan membantu syarikat bertahan.
“Subsidi upah perkara yang wajar,” kata Timbalan Presiden Mohd Effendy Abdul Ghani. “Semua PKS berdepan masalah yang sama (pendapatan lebih rendah) sekarang, jadi ini akan membantu mereka bertahan. Tanpa syarikat, tiada pekerjaan.”
Program Subsidi Upah juga dikembangkan lagi untuk melibatkan pekerja sektor runcit yang berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan, dengan had pekerja yang layak meningkat dari 200 pekerja setiap syarikat kepada 500.
Sejumlah RM1.5 bilion diperuntukkan untuk tujuan itu, dan ia dijangka dapat membantu sekitar 70,000 majikan dan 900,000 pekerja.
Belanjawan itu juga disambut baik oleh pemegang taruh ekonomi gig seperti pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj, yang berkata peruntukan RM110 juta untuk menggalakkan keusahawanan dalam kalangan pekerja gig dan mereka yang bekerja sendiri bawah program iTEKAD akan membantu pekerja ekonomi gig mewujudkan aliran pendapatan baharu.
“Saya percaya ia akan memberi peluang kepada pekerja gig berprestasi tinggi yang berhasrat untuk menaiktaraf dan meningkatkan kemahiran sebagai usahawan yang berdikari dan mengembangkan kemampuan mereka sambil bertahan pada waktu sukar seperti ini,” kata Nabil.
“Jumlah yang diperuntukkan untuk iTekad sedikit, tetapi saya percaya dengan pelaksanaan dan pengagihan yang tepat, ia bakal memberikan impak positif yang kuat pada masyarakat dan ekonomi.” -FMT