Belanjawan 2021 DBKL berkurangan RM300 juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Terkesan dengan pandemik COVID-19, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM2.653 bilion bagi Belanjawan 2021, berbanding RM2.972 bilion pada tahun ini, untuk pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi kesejahteraan dan kemakmuran warga kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata belanjawan bertemakan ‘Sayangi Kuala Lumpur, Kota Sejahtera’ itu memperuntukkan RM1.762 bilion atau 66.4 peratus untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM891 juta (33.6 peratus) untuk pembangunan.

Peruntukan pembangunan terbahagi kepada pembiayaan berjumlah RM623.7 juta (70 peratus) manakala pembiayaan daripada kerajaan dan lain-lain berjumlah RM267.6 juta (30 peratus).

“Demi memastikan keadaan infrastruktur jalan serta sistem saliran sentiasa berada pada tahap yang terbaik, DBKL menyediakan lebih RM392 juta bagi projek-projek berkaitan jalan, sungai, cerun dan longkang, yang meliputi semua kawasan di ibu kota.

“Belanjawan ini juga memberi fokus kepada beberapa projek untuk mengatasi banjir kilat di ibu negara, dengan jumla

h peruntukan hampir RM130 juta,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2021 DBKL, di sini, hari ini.

Tambahnya, DBKL turut menyediakan RM68 juta untuk membaiki dan menyelenggara rumah Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melibatkan kerja-kerja awam, elektrik, mekanikal, kerja lif dan kontrak pembersihan bagi memastikan keselesaan penduduk.

“Bagi memenuhi keperluan penduduk yang berpendapatan rendah pula, DBKL memperuntukkan RM30 juta bagi projek Perumahan Awam Council Home di Kampung Sungai Udang di Segambut,” katanya.

Pada masa sama, katanya, DBKL turut menyasar pengurangan intensiti pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) sehingga 70 peratus menjelang 2030, dengan pelaksanaan bangunan milik DBKL menggunakan tenaga solar pada akhir 2021 dan penggunaan tenaga elektrik untuk perkhidmatan bas GO KL.

Selain itu, katanya, DBKL membelanjakan hampir RM8.7 juta menerusi program kesihatan awam dan pencegahan penularan wabak berkenaan bagi peruntukan hidup warga kota yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Mahadi berkata, anggaran hasil 2019 dijangka menurun kepada RM1.964 bilion, berbanding RM2.523 bilion dalam tahun 2018 iaitu penurunan sebanyak 22 peratus.

“Hasil cukai taksiran yang dijangka berjumlah RM1.29 bilion merupakan hasil utama DBKL yang menyumbang sebanyak 65.7 peratus kepada hasil keseluruhan DBKL,” katanya.

Tambahnya, Belanjawan 2021 membuktikan DBKL sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan, kebajikan dan kesejahteraan warga kota selaras dengan penggunaan tagline baharu #klbandarku dan #klbandaruntuksemua. – BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427