Bekas pegawai khidmat pelanggan didenda RM5,000 menyamar petugas tetap IKN

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai khidmat pelanggan di Institut Kanser Negara (IKN) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai petugas tetap institut itu dengan memalsukan kad jabatan, minggu lalu.

Tertuduh Mohd Hafizullah Mat Zahid, 32, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh kemudian membayar denda itu.

Mohd Hafizullah didakwa menipu seorang pembantu keselamatan kanan berusia 43 tahun dengan menyamar supaya lelaki itu mempercayai dia adalah petugas tetap IKN, sehingga mendorong lelaki itu membenarkan tertuduh memasuki kawasan IKN sebagai petugas tetap.

Kesalahan itu dilakukan di IKN, Presint 7, di sini pada 2 petang, 27 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah dilantik sebagai pegawai khidmat pelanggan MySTEP pada 26 Jun lepas dan ditempatkan di Bahagian Perhubungan Awam IKN.

Sepanjang bertugas, tertuduh telah dilihat beberapa kali memakai kad pengenalan jabatan berwarna biru yang digantung pada leher menggunakan lanyard Kementerian Kesihatan.

Hasil aduan, satu siasatan dalaman telah dijalankan pada 27 November dan menjumpai satu kad pengenalan jabatan atas nama tertuduh yang telah dipalsukan, dipercayai digunakan oleh tertuduh sehingga menyebabkan kekeliruan terhadap petugas IKN.

Hasil siasatan juga mendapati tertuduh mencetak sendiri kad jabatan berkenaan bagi tujuan penyamaran dan kad terbabit disahkan tidak pernah dikeluarkan kepada tertuduh.

Terdahulu, peguam Nabilla Rosli merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan anak guamnya kini menganggur setelah dikenakan tindakan buang kerja, selain perlu menanggung kedua ibu bapa yang menetap di Terengganu termasuk seorang adik yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Amalina Johar memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh tidak boleh dipandang ringan kerana gagal menjaga amanah dan integriti selain kesalahan itu dilakukan di sebuah institusi kesihatan kerajaan yang mempunyai perkakasan yang bernilai tinggi.
-BERNAMA
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427