Bekalan gula di Kelantan masih kurang

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Bekalan gula subsidi peket satu kilogram (kg) di Kelantan masih kurang sejak dua minggu lalu.

Peniaga, Hidayatullah Nihmatullah, 29, berkata, gula di kedainya habis lebih dua minggu lalu dan bekalan masih tidak sampai walaupun dia sudah membuat pesanan kepada pemborong.

Hidayatullah berkata, untuk mendapatkan gula subsidi, dia perlu membeli gula premium, namun bekalan gula premium juga kurang.

“Masalah kekurangan gula berlaku sejak beberapa bulan lalu, namun ia masih belum pulih.

“Saya tidak tahu punca bekalan kurang kerana tidak dimaklumkan sebabnya, namun saya berharap masalah ini dapat diselesaikan kerana ramai pelanggan yang kecewa kerana sukar untuk mendapatkan gula,” katanya ketika ditemui di kedainya, hari ini.

Peniaga, Sharifah Nurul Natasha Syed Ab Kadir, 22, berkata, ramai pelanggan merungut kerana tidak mendapat bekalan gula subsidi, namun sebagai peniaga dia tidak dapat berbuat apa-apa.

“Selain gula, bekalan beras putih tempatan juga sukar untuk diperoleh namun ramai pelanggan cari untuk membeli beras tempatan kerana harganya yang murah berbanding beras import.

“Saya harap pihak berkenaan mengambil maklum masalah ini kerana ia menyukarkan rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan,” katanya.

Suri rumah, Hayati Hassan, 54, berharap bekalan gula pulih dalam masa terdekat kerana amat sukar untuk mendapatkan bekalan pada masa ini.

“Saya terpaksa pergi ke beberapa kedai untuk mendapatkan bekalan kerana saya difahamkan gula habis sejak beberapa hari lalu,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427