SALVADOR: Bayi kembar perempuan dilahirkan pramatang meninggal dunia dipercayai diserang oleh anjing milik ibu kepada bayi tersebut, di Timur Laut Bahia, Brazil.
Anjing baka labrador dikatakan ‘cemburu’ dengan kehadiran dua bayi bernama, Anne dan Analu berusia 26 hari itu, lalu menyerangnya.
Menyedari tangisan bayi kembar itu, ibunya, Elaine Novais, 29, bergegas masuk ke dalam bilik namun terlambat untuk menyelamatkan mereka, lapor Daily Mail.
Semasa kejadian, Novais cuba menghalang anjing terus bertindak ganas terhadap anak-anaknya, namun ia mengakibatkan kecederaan lebih teruk pada anggota badan bayi tersebut.
Seorang jururawat yang tinggal berhampiran melakukan pertolongan cemas pada bayi kembar berkenaan, namun seorang meninggal dunia di rumah kerana cedera parah manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Perbandaran Maria Pedreira Barbosa kerana mengalami serangan jantung.
Anjing itu, yang digambarkan haiwan yang jinak, dipercayai cemburu setelah tidak mendapat perhatian oleh tuannya sejak si kembar dilahirkan.
Pasangan kembar itu dilahirkan tiga bulan awal menerusi pembedahan.
Difahamkan, sewaktu kejadian, Novais bertemu jirannya dan tidak menyedari bila kejadian tersebut berlaku.
Polis sedang menyiasat punca kematian itu dan akan bertemu pemilik anjing berkenaan.
-SH