BANGKOK – Lima termasuk dua kanak-kanak maut dan sekurang-kurangnya 12 cedera parah selepas sebuah bas pelancong dua tingkat terbakar di wilayah Khon Kaen timur laut Thailand pada Selasa pagi.
Dalam kejadian 12.30 pagi (waktu tempatan), bas pelancong yang membawa 33 penumpang berlepas ke Bangkok dari wilayah Bung Kan pada Isnin.
Bangkok Post melaporkan tayar belakang bas meletup dan terbakar ketika tiba di Jalan Mittraphap (dikenali sebagai Lebuh Raya Persahabatan) di daerah Ban Haet.
“Lima penumpang termasuk dua kanak-kanak rentung sementara 12 yang lain mengalami lecur yang serius. Penumpang lain berjaya menyelamatkan diri,” kata laporan itu.
Media tempatan melaporkan anggota bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk memadam kebakaran. Mereka yang cedera dirawat di hospital Sirindhorn dan Khon Kaen.-BERNAMA