Barisan Kabinet baharu diumum hari ini

Estimate Reading Time: 4 minutes

KUALA LUMPUR: Spekulasi berhubung nama anggota Kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal terjawab apabila pengumuman mengenainya akan dibuat hari ini.

Pembentukan Kabinet baharu itu akan diumumkan Ismail Sabri jam 11 pagi, manakala majlis angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri akan berlangsung jam 2.30 petang, Isnin.

Perkara ini disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri beberapa jam selepas Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, semalam bagi mempersembah senarai nama anggota Kabinet baharu itu.

Istana Negara dalam satu hantaran di laman Facebook menyatakan, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima persembahan senarai anggota Kabinet baharu daripada Ismail Sabri.

Sesi menghadap itu berlangsung selama satu jam setengah bermula 11 pagi, iaitu yang kedua bagi Ismail Sabri selaku Perdana Menteri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, Sabtu lalu.

Terdahulu, Ismail Sabri dilihat memasuki perkarangan istana jam 10.53 pagi dengan diiringi tiga kenderaan lain dan kawalan polis trafik.

Turut bersama perdana menteri ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selesai majlis menghadap, kumpulan media dilihat ‘berkampung’ di beberapa lokasi utama kerana menunggu kemungkinan pengumuman pembentukan Kabinet dibuat, termasuk di Istana Abdulaziz dan Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya.

Ismail Sabri yang tiba di Perdana Putra kira-kira jam 3.40 petang selepas kembali dari Pahang, hanya melambaikan tangannya kepada petugas media yang menunggu di sekitar bangunan itu.

Pejabat Perdana Menteri kemudian mengeluarkan kenyataan ringkas bahawa tiada pengumuman mengenai senarai Kabinet oleh Perdana Menteri, sebelum disusuli kenyataan kedua menyatakan ia akan diumumkan hari ini.

Ismail Sabri, 61, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan Sabtu lalu, sebelum ini dilaporkan akan membuat pengumuman mengenai barisan kabinetnya dalam minggu ini.

Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, tumpuan terarah kepada mereka yang bakal menyertai barisan Kabinet dalam pentadbirannya.

Isnin lalu, Ismail Sabri berkata, senarai anggota Kabinet yang akan diumumkan minggu ini tidak membabitkan keanggotaan pembangkang kerana tiada cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan ketika ini.

“Mereka tidak ada dalam Kabinet, tidak ada kerajaan perpaduan yang membabitkan parti pembangkang, tetapi kita boleh bekerjasama dan pandangan mereka boleh diberi dalam Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) khususnya berhubung pemulihan ekonomi,” katanya.

Saksikan siaran langsung pengumuman Kabinet oleh Perdana Menteri pada jam 11 pagi ini pic.twitter.com/tVaPnniAPT

— Berita Harian (@bharianmy) August 27, 2021

Kelmarin, Ismail Sabri dan parti pembangkang mencapai titik persamaan bagi mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara demi rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan beliau bersama pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Dalam pertemuan itu, Ismail Sabri berkata, pemimpin pembangkang bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif serta menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Turut dipersetujui mengenai pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik.

Sejak seminggu lalu, banyak cadangan dibuat penganalisis politik, veteran politik dan pelbagai persatuan mengenai komposisi bakal Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang baharu.

Antara cadangan mereka termasuk saiz Kabinet yang lebih kecil iaitu antara 20 hingga 25 orang berbanding 70 sebelum ini, selain ada penyertaan golongan profesional, teknokrat, pemimpin muda dan mereka yang bebas daripada kes mahkamah.

Ada juga mengesyorkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan timbalan menteri tidak perlu diwujudkan, selain berharap wakil pembangkang dan bekas menteri yang cemerlang, turut disenaraikan.

Antara nama pemimpin muda yang disyorkan, termasuk Khairy Jamaluddin (Ahli Parlimen Rembau), Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh), Hannah Yeoh (Segambut) dan Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar).

Penganalisis ekonomi pula mencadangkan khidmat bekas menteri seperti Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (Menteri Kewangan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Luar) dan Khairy (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dikekalkan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berharap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dinamakan sebagai Menteri Kewangan kerana sudah biasa bergelumang dengan rakyat dan memahami denyut nadi mereka.

Majlis Belia Malaysia (MBM) mahu Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan diketuai tokoh yang berwibawa, bersih, bebas rasuah dan salah guna kuasa, selain seimbang dari sudut gender, geografi, kaum dan tokoh muda.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir, berpandangan Perdana Menteri perlu diberi ruang dan kebebasan untuk menyenaraikan siapa calon untuk mengisi Jemaah Kabinet baharu tanpa ada campur tangan pihak ‘ketiga’ demi mengembalikan keyakinan rakyat dan entiti luar negara terhadap kerajaan.

“Perdana Menteri sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk persembah senarai anggota Jemaah Kabinet pagi tadi (semalam) dan sepatutnya ia disusuli pengumuman pada sebelah petang.

“Namun ia tidak berlaku dan ini tentunya mencetuskan persoalan atau teka-teki di pemikiran rakyat bahawa mesti ada sesuatu yang belum lagi lancar.

“Kalau ada mungkin pertikaian dari segi nama-nama (bakal anggota Jemaah Menteri). Mungkin saya agak Seri Paduka memberi pandangan nama-nama yang baginda fikir tak wajar ada dalam senarai. Berkemungkinan senarai itu perlu pertimbangan.

“Kita tahu Perdana Menteri menghadapi kerumitan kerana perlu pertimbangkan pelbagai faktor luaran dan dalaman selain faktor politik, nasionalisme, agama, etnik dan kaum,” katanya kepada BH.

Penganalisis politik dan geostrategis, Dr Azmi Hassan, pula berpendapat dengan keadaan semasa yang terpalit pandemik COVID-19, masa paling sesuai untuk pengumuman Jemaah Kabinet adalah seberapa segera yang mungkin.

Walaupun berlaku sedikit kelewatan, beliau berharap keadaan itu tidak akan mengakibatkan pelbagai urusan tergendala terutama membabitkan urusan menangani COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

“Apa yang paling mustahak ketika ini adalah Perdana Menteri wajar mendahulukan senarai Jemaah Kabinet membabitkan kementerian yang penting dengan mengambil kira situasi semasa.

“Kita tahu kalau senarai Kabinet penuh, ia akan mengambil masa lama, sebaiknya umumkan senarai Kabinet kementerian yang kritikal sahaja dahulu,” katanya.

Pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, pula berkata mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, proses pertama yang perlu didahulukan adalah melantik Perda Menteri dan kemudiannya disusuli barisan Jemaah Menteri.

“Kita memang mahu Jemaah Kabinet dilantik secepat mungkin dan kalau boleh minggu ini sudah selesai.

“Tetapi dari segi kelancaran jentera kerajaan tidak ada masalah. Kalau ada isu besar, Ketua Setiausaha Negara akan mendapatkan keputusan daripada Perdana Menteri,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427