MADRID: Ronald Koeman mengkritik pemain Barcelona kerana gagal menyempurnakan dua penalti ketika mereka memerlukan tambahan masa untuk menamatkan perjalanan pasukan divisyen tiga, Cornella dan mara ke kelompok 16 terakhir Piala Raja Sepanyol.
Gol Ousmane Dembele dan Martin Braithwaite ketika tambahan masa mengesahkan kemenangan 2-0 buat Barca namun ia berlaku selepas Miralem Pjanic dan Dembele masing-masing gagal menjaringkan penalti pada waktu sebenar permainan.
Pjanic dan Dembele menyertai senarai pemain Barcelona gagal melaksanakan penalti musim ini bersama Lionel Messi, Antoine Griezmann dan Braithwaite.
“Saya tidak faham, biasanya ada cukup pemain untuk menjaringkan penalti,” kata jurulatih Barca, Koeman.
“Mungkin mereka takut, saya tidak tahu. Beberapa pemain sudah gagal, secara keseluruhan, jika anda menjaringkan satu daripada dua penalti, anda akan tenang.
“Anda tidak boleh terlepas dua penalti sebagai pemain Barca. Itu tidak serius.”
Barca sedang berusaha untuk bangkit selepas kekalahan mengejut di tangan Athletic Bilbao pada final Piala Super Sepanyol Ahad lalu apabila Messi dibuang padang buat pertama kali sejak bersama kelab berkenaan. – AFP