BARCELONA: Pendahulu La Liga, Barcelona tumbang 1-0 di Real Sociedad awal pagi tadi ketika gol Robert Lewandowski secara kontroversi dibatalkan dengan jurulatih Hansi Flick menganggap keputusan itu satu “kesilapan besar.”
Terdahulu, Julian Alvarez meledak gol tunggal membantu Atletico Madrid menang 1-0 di Mallorca untuk melonjak Rojiblancos ke tangga ketiga.
Gol Sheraldo Becker pada minit ke-33 mencetus kekalahan kedua Barcelona dalam liga musim ini, menyaksikan kelab gergasi Catalunya itu mendahului enam mata di depan pasukan tangga kedua Real Madrid, sesudah beraksi lebih satu perlawanan.
Gol awal Lewandowski dibatalkan sekali gus mencetus perdebatan hebat sama ada penyerang Poland itu ofsaid atau sebaliknya.
“Ia satu keputusan yang silap, jelas, ia jelas, tetapi kami terpaksa menerimanya,” kata Flick kepada platform penstriman kelab Barca One.
“Pengadil, ia bukan salahnya, kita semua manusia, kita melakukan kesilapan dan hari ini ia satu kesilapan besar.”
Barcelona beraksi tanpa bintang remaja Lamine Yamal selepas dia mengalami kecederaan buku lali ketika menang aksi Liga Juara-Juara ke atas Red Star Belgrade pada pertengahan minggu dan benar-benar terasa ketiadaannya.
Kelab Catalunya itu gagal menyumbat gol dalam satu perlawanan buat kali pertama musim ini bagi semua pertandingan ketika Real Sociedad, di tangga kelapan, bertahan dengan baik ketika Barcelona gagal melakukan satu percubaan tepat ke arah gol.
“Tanggungjawab kekalahan ini terletak di bahu kami, kami bertanggungjawab, kami boleh beraksi dengan lebih baik,” akui Flick.
“Ia tempat sukar untuk dikunjungi, yang mana La Real banyak menekan… kami perlu belajar daripada kesilapan kami dan itulah yang sepatutnya,” kata pemain tengah Barcelona, Pedri kepada Movistar.
-AFP
-BeritaHarian