“Ringkasnya, nilai RM150 ini memadai kepada pelajar yang memahami dan merasai degup jantung ahli keluarga yang sangat memerlukan pemberian BAP berbanding sebaliknya,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas pemberian BAP yang diperluas kepada semua murid Tingkatan Enam, bermula sesi persekolahan 2025/2026 dengan masing-masing menerima RM150 seorang.
Perluasan BAP kepada murid Tingkatan Enam itu akan memanfaatkan lebih 100,000 pelajar dengan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, mengumumkan BAP diteruskan dengan hampir RM800 juta diperuntukkan bagi agihan kepada 5.2 juta murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima tanpa mengira pendapatan ibu bapa.
Shahabuddin mencadangkan pemberian BAP diberi dalam bentuk baucar buku, alat tulis atau kelengkapan pembelajaran, sekiranya mahu mengelak ketirisan.
“Setiap pemberian tentunya akan dimanfaatkan pelajar. Untuk menentukan sejauh mana ia digunakan bagi tujuan persekolahan atau akademik tentunya sukar, kecuali jika BAP diagihkan dalam bentuk baucar buku, alat tulis atau kelengkapan persekolahan.
“Namun saya percaya, jika kesedaran masyarakat terutama ibu bapa terhadap pendidikan adalah tinggi, BAP akan digunakan sepenuhnya secara efektif bagi objektif asal pemberiannya,” katanya.
Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Mursyid Arshad, berpandangan pemberian BAP mampu mengelak gangguan emosi.
Katanya, ia susulan kesukaran ibu bapa menyediakan kelengkapan dan peralatan persekolahan.
Selain itu, katanya, BAP juga menjadi instrumen meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak mereka.
“Ini selari hasrat kerajaan supaya murid ada akses kepada kelengkapan pembelajaran yang efektif memandangkan wujud jurang keperluan, terutama golongan ibu bapa menyediakan barangan berkenaan.
“Kita tak mahu emosi murid terganggu dan akhirnya mungkin mendorong mereka melakukan sesuatu di luar jangka, hanya untuk memastikan ada akses sama kepada alat tulis misalnya.
“Kalau ikutkan, RM150 memang tidak mencukupi tetapi sekurang-kurangnya ia membantu meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing.
“Agihan BAP perlu dibuat mengikut objektif asal, tanpa mengetepikan kepentingan pembabitan murid dalam aktiviti tambahan anjuran sekolah masing-masing,” katanya.
-BeritaHarian