KUALA LUMPUR: Hampir 50 peratus syarikat di Malaysia bersedia untuk mempraktikkan trend bekerja secara hibrid dalam tempoh terdekat disebabkan cabaran mendesak ekoran sekatan pergerakan yang dicetuskan COVID-19.
Pengarah Urusan dan Ketua Negara PERSOLKELLY Malaysia, Brian Sim, berkata peralihan trend bekerja berkenaan menjadikan Malaysia antara empat negara teratas di Asia Pasifik termasuk India, Singapura dan Korea Selatan, di mana pekerja memilih untuk bekerja secara hibrid berbanding di pejabat.
Katanya, berdasarkan Tinjauan Cerapan Tenaga Kerja PERSOLKELLY, Malaysia juga berada pada kedudukan terendah dengan pekerja memilih untuk kebanyakannya bekerja di pejabat.
“Dapatan ini jelas menunjukkan pekerja tempatan di Malaysia terus bergantung kepada pengurusan kerja secara hibrid dan persekitaran jarak jauh pada masa akan datang.
“Pemilihan pengurusan kerja hibrid itu disebabkan cabaran mendesak akibat sekatan pergerakan disebabkan pandemik yang mengubah rutin kerja sepenuhnya.
“Ia sesuatu yang tidak dapat dielak dan organisasi tertentu lebih bersedia untuk peralihan pengurusan kerja hibrid atau jarak jauh, manakala sebahagian lagi cuba untuk berbuat demikian,” katanya kepada BH.
Bagaimanapun, Sim berkata, wujud kebimbangan dalam kalangan majikan tempatan untuk membina tenaga kerja di tengah peralihan itu, termasuk sekatan pergerakan global, kekurangan bakat dan kadar pengurangan tinggi dalam pekerja yang memiliki kemahiran khusus.
“Mengambil kira keutamaan tersendiri tenaga kerja tempatan untuk persekitaran pekerjaan hibrid, ia boleh dikatakan sangat relevan.
“Memiliki fleksibiliti seperti ini memastikan bahawa organisasi boleh kekal berdaya tahan sekiranya berlaku sekatan lagi, selain menyediakan pilihan kepada pekerja mengenai cara bekerja yang lebih disukai.
“Dalam hal ini, adalah berfaedah bagi majikan untuk bersikap terbuka untuk menerima pakai strategi tenaga kerja yang fleksibel termasuk memanfaatkan bakat sementara atau kontrak, memanfaatkan set kemahiran dan pengalaman praktikal yang dibawa oleh calon bersama mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan, pengurusan kerja hibrid dan jarak jauh berkemungkinan akan kekal pasca pandemik berikutan kebimbangan kesihatan dan ekonomi.
Katanya, keadaan itu membawa kepada pertumbuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam perkembangan teknologi dalam sektor pekerjaan.
“Walaupun sesetengah industri mungkin tidak mempunyai pilihan untuk berfungsi dari jauh, ia adalah penting kepada organisasi membuat persediaan yang diperlukan, bagi memastikan kesinambungan dalam perniagaan, sekiranya berlaku situasi yang sama pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, majikan seharusnya bersedia melabur dalam sambungan berkelajuan tinggi dan alat produktiviti seperti aplikasi persidangan video supaya majikan dan pekerja memiliki akses kepada perniagaan lebih lancar apabila mengamalkan pengurusan kerja jarak jauh.
“Biarpun ia membabitkan kos, penyelesaian itu membolehkan organisasi memenuhi keperluan majikan dan pekerja,” katanya
Sim berkata, dalam pelbagai aspek, pandemik sudah menormalkan kerja jarak jauh, walaupun realitinya pekerja memiliki perasaan bercampur-baur berhubung pengurusan kerja seperti itu.
“Walaupun ada yang bersikap positif untuk kembali kepada beberapa pengurusan kerja mirip aktiviti biasa di pejabat, sebahagian lebih suka kekal bekerja jarak jauh.
“Justeru, adalah penting bagi majikan menangani keutamaan pekerja untuk lebih fleksibel dan hibrid kerana ia boleh mempengaruhi hubungan.
“Pemimpin organisasi dan pasukan pengurusan harus berusaha untuk berkomunikasi dengan pekerja mereka mengenai perkara ini dan memahami perkara yang paling sesuai sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Beliau berkata, dalam menangani kebimbangan persekitaran kerja hibrid, PERSOLKELLY menawarkan penyelesaian tenaga kerja hujung-ke-hujung di 13 pasaran merentasi Asia Pasifik.
“Ia termasuk Penyelesaian Tenaga Kerja Fleksibel dan Perkhidmatan Organisasi Majikan Profesional Global yang terdiri daripada perjanjian peringkat perkhidmatan dan pengurusan prestasi.
“Ini membolehkan organisasi untuk terus memantau prestasi pekerja walaupun dalam persekitaran kerja jarak jauh,” katanya.
-BH