Bantuan untuk keluarga terdesak di Sabah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Pukul 2.30 petang Jumaat dan sekumpulan wanita separuh umur berkumpul di luar Restoran Selera Masiun, sebuah kedai makanan berhampiran kota Inanam di sini.

Mereka datang ke kedai itu bukan untuk pelbagai makanan bermasak yang disediakan di situ, sebaliknya beratur untuk beg berisi beras, gula dan tepung seberat 1kg setiap jenis serta mi kering, 5 biji telur dan setin sardin.

Mereka diminta menulis nama pada sebuah buku yang disediakan. Kebanyakan mereka mencatatkan nama ringkas sebelum menerima beg plastik yang dipenuhi dengan barang runcit.

Pada setiap Jumaat dan Sabtu, kedai kopi itu akan menjadi lokasi pengedaran kepada sebuah bank makanan yang didirikan oleh suri rumah Rosnah Mansaat dan 2 rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Fatin dan Ummi.

Bank makanan itu mula beroperasi pada 23 Okt dengan kira-kira 100 beg barang runcit diedarkan pada 2 hari pertama selepas 3 rakan itu memaklumkannya melalui media sosial.

Tiga wanita itu masing-masing membelanjakan “beberapa ratusan ringgit” untuk memenuhkan bekalan bank makanan tersebut walaupun terdapat sumbangan daripada keluarga dan rakan mereka.

Walaupun setakat ini pihak berkuasa telah mengedarkan hampir 120,000 bakul makanan kepada isi rumah di Sabah, selain bantuan tunai Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Rosnah percaya bahawa bank makanan amat diperlukan kerana terdapat keluarga yang memerlukan yang berkemungkinan tidak mendapat bantuan dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Mereka yang meminta bantuan kami biasanya adalah yang berpendapatan harian seperti pekerja kedai kopi atau mereka yang bekerja sebagai pembantu gerai pasar malam atau menganggur selama beberapa bulan.

“Mereka adalah golongan yang paling berisiko dan memerlukan bantuan,” kata Rosnah.

Tidak hairanlah mengapa bank makanan serupa turut didirikan di lokaliti lain berhampiran Kota Kinabalu.

Rosnah berkata, beliau menyedari kewujudan bank makanan lain di Inanam, Menggatal, Penampang dan Pututan.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Hajiji Noor mengingatkan pihak berkuasa supaya mempercepatkan proses pengedaran bantuan makanan kepada keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Bagi Rosnah,langkah mendirikan bank makanan itu adalah alternatif yang lebih selamat berbanding menghantar makanan kepada keluarga yang memerlukan seperti yang pernah dilakukannya sewaktu PKP mula dilaksanakan pada Mac.

“Saya melihat permintaan terhadap makanan dalam Facebook dan saya fikir orang yang meminta bantuan itu tentu terdesak.

“Ia amat melukakan hati kerana keluarga saya mempunyai makanan yang mencukupi dan saya berpendapat saya perlu berbuat sesuatu,” kata Rosnah.

Rosnah menghubungi mereka yang meminta bantuan dan bertanya apakah yang diperlukan.

“Mereka yang meminta makanan berada dalam keadaan terdesak dan sanggup mengetepikan maruah bagi memastikan anak mereka mempunyai makanan untuk mengenyangkan perut,” katanya.

Pada mulanya, beliau akan pergi membeli barang runcit dan menghantarkannya kepada keluarga serba kekurangan, tetapi sejak angka kes Covid-19 di Sabah mencecah 3 digit pada awal bulan ini, kakaknya, yang merupakan seorang jururawat menasihatinya supaya berhenti.

“Saya tidak boleh berhenti, tetapi saya perlu menjaga kesihatan saya. Selepas berfikir dan berbincang dengan keluarga, bank makanan adalah jawapan terbaik,” kata Rosnah.

Bagi banyak keluarga di Sabah yang memerlukan bank makanan seperti yang didirikan Rosnah dan 2 rakannya, ia dapat mengelakkan kelaparan. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427