Bantu kerajaan jayakan Program Imunisasi COVID-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA, 26 Feb — Rakyat Malaysia perlu membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan menyampaikan maklumat yang tepat mengenai vaksin COVID-19 kepada anggota keluarga dan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata ini kerana pengambilan suntikan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib bagi golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia sebagaimana dijelaskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Katanya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah diberi suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sebagai bukti kepada rakyat bahawa vaksin tersebut adalah selamat digunakan.

“Jauhilah segala perkongsian informasi yang diragui terutama dalam media sosial. Berikanlah kerjasama kepada usaha-usaha pemberian vaksin ini supaya ia dapat berjalan dengan lancar.

“Di samping itu, marilah berdoa semoga kita beroleh kemenangan dan kejayaan dalam perjuangan menentang dan menghapuskan penularan COVID-19 dari negara ini,” katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Malaysia Prihatin: Peranan Bersama’ di Masjid Putra di sini, hari ini.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Sementara itu, Zulkifli berkata semangat Malaysia Prihatin adalah manifestasi cita-cita dan harapan seluruh rakyat Malaysia yang berganding bahu memerangi pandemik COVID- 19.

“Kita perlu bersatu padu tanpa mengira ideologi politik dan meliputi segenap lapisan masyarakat, sama ada pihak kerajaan, pembangkang, penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan.” katanya.

Menurut Zulkifli, berkat kesatuan dengan semangat Malaysia Prihatin, Malaysia pernah membuktikan andaian JP Morgan bagi bilangan kes pada pertengahan April 2020 tidak terjadi.

“Tidak mustahil andaian bilangan kes oleh Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME) pada Mac 2021 ini iaitu sebanyak 20,000 kes sehari, dapat dinafikan dengan izin-Nya,” katanya.

Dilaporkan, agensi penyelidikan JP Morgan meramalkan kadar jangkitan COVID-19 di negara ini mencapai kemuncaknya pada 14 April 2020 iaitu sebanyak 6,300 kes.

Zulkifli berkata dua ramuan utama bagi kejayaan memaknakan semangat Malaysia Prihatin itu adalah penekanan kepada peri pentingnya keselamatan dan kesihatan.

“Dua elemen ini menjadi penentu kepada apa yang telah kita usahakan secara bersama sejak mula pandemik COVID-19 melanda negara.

“Pandemik COVID-19 yang melanda negara telah memberi kesan yang besar kepada pelbagai sektor terutama ekonomi, pendidikan, keselamatan dan sosial,” katanya.

Zulkifli berkata apa yang telah diusahahakan oleh kerajaan Malaysia pada hari ini kesemuanya adalah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia amnya berada dalam kondisi yang sejahtera.

Terdahulu, Zulkifli melancarkan Kaunter Bait Al Mahabbah di Masjid Putra di sini sebagai usaha menyampaikan bantuan barang keperluan harian kepada golongan asnaf di sekitar Putrajaya.

Kaunter yang telah mula beroperasi sejak 11 Feb lepas itu dibuka pada hari Selasa dan Khamis bermula 2.30 petang hingga 4.30 petang di aras G, Masjid Putra.

— BERNAMA

 

 

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427