Bank Rakyat lanjut bantuan bayaran pembiayaan bersasar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat akan melanjutkan tempoh Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar berakhir pada 30 Jun ini khusus untuk pelanggannya yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan, berkata ia komited untuk membantu pelanggan merancang komitmen pembiayaan menerusi program bantuan pengurusan kewangan.

Beliau berkata, ia selaras dengan pengumuman berhubung Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar oleh Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) pada 12 Mei lalu.

Katanya, Bank Rakyat amat prihatin terhadap situasi terkini yang masih tidak stabil, justeru bantuan itu dilanjutkan khusus buat pelanggan yang masih menghadapi kesukaran meneruskan pembayaran pembiayaan berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Antara kriteria pelanggan yang boleh memohon bantuan ini adalah pelanggan diberhentikan kerja dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, pelanggan masih dalam tempoh bercuti tanpa gaji, pelanggan mengalami pengurangan gaji atau pendapatan serta pelanggan yang pasangannya turut terjejas.

“Selain itu, Bank Rakyat turut menawarkan bantuan bersasar kepada individu terjejas yang bekerja sendiri atau Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan memberi fleksibiliti dalam pembayaran pembiayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Permohonan lanjutan Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar boleh dibuat mulai 1 Julai 2021 dan pelanggan perlu menghubungi Bank Rakyat menerusi e-mel di bankrakyatrnr@bankrakyat.com.my dengan menyertakan sekali nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit untuk dihubungi.

Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Panggilan di talian 1300800800 atau mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan untuk merancang pembayaran pembiayaan.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427