Bank diarah usaha kecualikan bayaran faedah moratorium

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan sudah mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera, kata Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Ia membabitkan penerima moratorium dari kumpulan 50 peratus terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan mengumumkan pakej bantuan moratorium automatik pinjaman selama enam bulan kepada semua peminjam individu tanpa syarat di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Kemudahan itu juga ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan bank.

Moratorium automatik di bawah Program PEMULIH menyaksikan tiada lagi syarat dikenakan seperti pengurangan pendapatan.

Malah, tiada semakan akan dilakukan sama ada pemohon hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.

Proses ini dipermudahkan bagi memastikan kesemua golongan dapat diberi bantuan yang sewajarnya dalam tempoh pandemik ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata negara sudah membuktikan keberkesanan vaksin dalam membolehkan pembukaan lebih banyak sektor-sektor ekonomi.

Justeru, beliau berkata melalui Bajet 2022, Kementerian Kewangan akan berusaha mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan, serta meningkatkan lagi daya tahan negara.

“Bajet 2022 juga akan menerapkan beberapa aspek penyusunan semula yang akan menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 dalam memacu pertumbuhan yang lebih lestari, mampan dan berdaya saing,” katanya. -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427