Bajet 2023 harus produktif pastikan poket rakyat disejahterakan

Estimate Reading Time: 4 minutes

Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan lagi sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus, manakala ringgit meneruskan trend penurunan ketika ini berada pada tahap paling buruk sejak krisis kewangan Asia 1997/98. Inflasi pula terus meningkat ke 4.4 peratus, berbanding hanya pada kadar 2.3 peratus, Januari lalu.

Tidak dapat dinafikan, sebab utama OPR perlu dinaikkan adalah untuk mengawal tekanan inflasi yang berlaku akibat prestasi ekonomi semakin kukuh. Lantas, ekonomi negara dilihat tidak lagi memerlukan bantuan dari segi dasar monetari longgar seperti ketika mendepani cabaran pandemik beberapa tahun lepas.

Kadar pengangguran pun sudah berada pada tahap Guna Tenaga Penuh, manakala pelaburan dan prestasi dagangan juga terus meningkat. Pada suku kedua tahun ini, ekonomi bertumbuh pada kadar 8.9 peratus. Jangkaan pada suku ketiga juga menggambarkan ekonomi negara akan bertumbuh pada kadar memberangsangkan dengan melihat indikator terkini dilaporkan sepanjang Julai.

Namun, harus diingat keadaan ekonomi semasa masih lagi belum berada pada tahap normal seperti sebelum pandemik. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam mengintepretasi data ekonomi ini.

Walaupun kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita bertumbuh pada kadar 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, jika kita lihat dari sudut sukuan, sebenarnya ekonomi bertumbuh lebih perlahan pada kadar 3.5 peratus berbanding dengan pertumbuhan pada kadar 3.8 peratus pada suku sebelumnya.

Nisbah pampasan pekerja juga masih lagi rendah. Begitu juga dari segi pelaburan. Walaupun kita berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM123.3 bilion bagi separuh pertama 2022, nilai mata wang kita masih lagi pada kedudukan tidak menggambarkan prestasi ini.

Begitu juga dengan tahap daya saing negara, yang menurut Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2022, kedudukan kita jatuh tujuh tangga ke-32 daripada kedudukan ke-25 pada tahun sebelumnya.

Memang kita sudah dapat lihat peningkatan dalam nilai jumlah eksport yang baik. Namun, jika dilihat dari aspek eksport bersih, keadaan masih lagi agak membimbangkan dengan data pada suku kedua tahun ini menunjukkan eksport bersih negatif sebanyak 28.7 peratus, lebih teruk daripada prestasi eksport bersih pada suku sebelumnya.

Banyak peluang pekerjaan sudah dicipta, tetapi jenis pekerjaan bagaimana? Adakah seorang graduan akan mendapat pekerjaan setaraf kelayakannya dan gaji setimpal?

Cabaran sebenar belum diatasi sepenuhnya

Jadi, jelas di sini walaupun tidak dinafikan kedudukan ekonomi negara dilihat sudah semakin memulih, cabaran dihadapi sebenarnya belum lagi dapat diatasi sepenuhnya.

Pelbagai segmen dalam ekonomi masih lagi perlu dibantu dan diperkasakan seperti sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), industri pelancongan, sektor pertanian dan pelaburan dalam infrastruktur digital serta industri menjurus ke arah kelestarian dan juga 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) diperkenalkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Persoalan asas yang mungkin ada pada setiap rakyat ketika ini adalah: Adakah data positif berkenaan dengan ekonomi makro ini dapat dirasai dari segi peningkatan dalam pertumbuhan ‘ekonomi’ mereka?

Di sinilah sebenarnya kepentingan Bajet 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi. Hakikatnya, kos kehidupan rakyat, terutama golongan rentan, B40 dan M40 semakin meningkat dari hari ke hari.

Beban kos ini ditambah lagi apabila Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan meningkatkan OPR. Ini diterukkan lagi dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit secara berterusan hingga pada satu ketika jatuh pada kadar RM4.72 kepada mata wang dolar. Tekanan inflasi, terutama inflasi makanan semakin melonjak naik.

Sumber mata pencarian mereka masih lagi belum pulih sepenuhnya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agak lama. Natijahnya, gejala kemiskinan semakin membimbangkan, manakala ketidakseimbangan sosioekonomi semakin melebar.

Ketika ini, ramai Keluarga Malaysia meneruskan kehidupan dengan mengambil pinjaman peribadi dan menggunakan kad kredit. Walaupun OPR dinaikkan, pinjaman peribadi terpaksa juga diambil akibat desakan kos sara hidup dahsyat. Kes individu jatuh muflis, terutama generasi muda dan Bumiputera juga semakin meningkat. Kes sakit mental dan bunuh diri juga semakin membimbangkan.

Sebab itu, tidak perlu kita membandingkan kadar inflasi atau nilai mata wang kita dengan negara lain. Perbandingan ini hanya satu sudut sahaja. Bandingkan juga dengan kos sara hidup, kuasa beli, sistem perlindungan sosial, rizab negara, kekuatan industri dan kewangan awam mereka, selain dan keadaan kesihatan mental dan fizikal rakyat untuk mendapat gambaran lebih menyeluruh untuk membuat perbandingan keadaan ekonomi negara kita dengan negara lain.

Sekali lagi, di sinilah kepentingan Bajet 2023 yang akan dibentangkan kelak.

Adalah mengejutkan jika bajet kali ini bersifat menguncup. Ini bukan masanya untuk kerajaan melaksanakan dasar berjimat cermat. Pada hemat saya, kedudukan kewangan negara masih lagi baik.

Persoalan penting di sini bukanlah sama ada kerajaan perlu kurangkan perbelanjaan atau tidak, tetapi apakah bentuk dan hala tuju perbelanjaan akan dirancang pada Bajet 2023 ini.

Perbelanjaan perlu produktif dan bersasar. Produktif di sini bermaksud perbelanjaan yang dapat meningkatkan pertumbuhan ‘ekonomi’ rakyat dan dapat meningkatkan kapasiti ekonomi pada masa hadapan.

Perbelanjaan tidak produktif adalah seperti pemberian subsidi secara pukal dengan jumlah besar. Perbelanjaan tidak produktif ini perlu dirasionalisasi dan perbelanjaan produktif perlu ditingkatkan.

Antara strategi meningkatkan pertumbuhan ‘ekonomi’ rakyat adalah perbelanjaan pelaburan terhadap sektor pertanian. Misi utama adalah untuk mengurangkan import dan meningkatkan tahap sara diri komoditi pertanian kita.

Pekerjaan dan perniagaan baharu, terutama terkait dengan 17 SDG dan pembinaan kapasiti dalam ekonomi karbon neutral perlu diperkenalkan. Begitu juga dengan peningkatan dalam pendapatan rakyat, seperti peningkatan dalam gaji ataupun elaun penjawat awam dan pengenalan kepada dasar pendapatan asas sejagat (UBI).

Ekonomi digital juga perlu dirakyatkan agar rakyat dapat memanfaatkan bentuk ekonomi baharu ini untuk meningkatkan sumber pendapatan mereka.

Hakikatnya, Bajet 2023 direncana dalam jangkaan keadaan ekonomi global lebih mencabar pada tahun hadapan. Jadi, untuk mengharapkan bajet sempurna yang dapat menyelesaikan semua perkara adalah tidak logik.

Namun, setidaknya pun, bajet ini perlu memastikan poket rakyat dapat disejahterakan dalam keadaan alam sekitar yang dapat dilestarikan tanpa ada sesiapa ketinggalan dari Perlis hingga Sabah.

Penulis adalah Profesor Madya Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427