Bahasa Inggeris takluki dunia bagaikan virus – Charles Hay

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR- Bagaikan virus, bahasa Inggeris telah menakluki dunia dan menjadi bahasa yang semakin pantas berkembang dalam sejarah manusia, kata Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia Charles Hay.

Dalam dunia hari ini terdapat hampir 385 juta penutur jati bahasa Inggeris di negara seperti Amerika Syarikat dan Australia, selain kira-kira satu bilion penduduk yang fasih berbahasa itu dari negara yang pernah dijajah seperti India serta Nigeria.

Di seluruh dunia, berjuta-juta orang mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan ia dituturkan di tahap yang memberi manfaat oleh kira-kira 1.75 bilion orang di seluruh dunia atau seorang daripada empat orang penduduk dunia, katanya pada mesyuarat agung tahunan (AGM) English Speaking Union of Malaysia (ESUM) di kediaman rasmi beliau di sini pada Selasa.

Berikutan statusnya sebagai bahasa global bagi perniagaan dan internet, semakin banyak syarikat multinasional memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa korporat dalam usaha untuk mempermudahkan urusan dalam komunikasi dan prestasi yang pelbagai di seluruh dunia.

“Mesyuarat lembaga lazimnya dikendalikan dalam bahasa Inggeris sungguhpun syarikat terbabit mungkin bukan dari negara yang penduduknya berbahasa Inggeris atau tiada seorang pun daripada pesertanya merupakan penutur jati bahasa itu,” kata Hay.

Menegaskan kepentingan bahasa Inggeris untuk memperoleh pekerjaan yang baik, Pesuruhjaya Tinggi itu, yang menghiburkan hadirin apabila memulakan ucapannya dengan beberapa patah perkataan dalam bahasa Malaysia, berkata adalah perlu untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, manakala tahap penguasaan bahasa Inggeris yang rendah serta-merta meletakkan pencari pekerjaan pada kedudukan kurang baik.

“Statistik menunjukkan sehingga satu per empat daripada siswazah berkesudahan sebagai penganggur disebabkan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah sebagai sebab utama.

“… dan 70 peratus daripada ketua pegawai ekskutif di negara yang dikaji menyatakan tenaga kerja mereka perlu menguasai bahasa Inggeris dan satu per empat daripada mereka berkata lebih 50 peratus daripada tenaga kerja mereka memerlukan kemahiran dalam bahasa itu,” kata Hay.

Diplomat itu berkata sungguhpun bahasa Inggeris mudah dipelajari, ia juga bahasa paling mudah di dunia untuk belajar percakapan yang kurang baik manakala bahasa yang paling lazim dituturkan adalah bahasa pasar.

“Bahasa Inggeris itu kaya dan indah, tidak kurang penting sebab Britain pernah dikuasai oleh Viking serta Norman dan sentiasa terbuka kepada pengaruh luar menerusi sejarahnya. Kita banyak mengetahui tentang perkataan bahasa Inggeris yang jarang dijumpai namun indah sebab bahasa ini telah ditulis sejak lebih 1,000 tahun lepas dan dialeknya yang pelbagai dijelaskan dengan baik,” katanya.

Pengerusi ESUM Tunku Dara Naquiah Tuanku Ja’afar berkata pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tahun ini untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk melalui pertandingan pengucapan awam dan menulis karangan.

Program ‘Fun English’ turut diadakan bagi pelajar Orang Asli di Cameron Highlands.

Nicol Yong Jia Jia, yang mewakili ESUM dalam Pertandingan Syarahan Bahasa Inggeris Belia Jalur dan Jalan tahun ini yang diadakan Mac lepas di Hangzhou, China, muncul juara, mengalahkan wakil ESU dari seluruh dunia.

Pada AGM itu, Tunku Dara Naquiah dan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda masing-masing dilantik semula sebagai pengerusi dan naib pengerusi.-BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427