Baby Shima terima ugutan bunuh

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Penyanyi Baby Shima membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh diterimanya melalui media sosial.

Dalam hantaran di Instagram (IG), Baby Shima berkongsi tangkap layar komen berbaur ugutan ditinggalkan seorang pengguna Facebook (FB) dipercayai dari Sarawak.

Menerusi komen itu, pengguna berkenaan melayangkan komen supaya Baby Shima berhati-hati sekiranya tidak mahu pulang sebagai mayat.

Rentetan itu, Baby Shima atau nama sebenar, Nor Ashima Ramli membuat laporan di Balai Polis Sibu, Sarawak dengan ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, jam 2 pagi semalam.

“Terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya atas keprihatinan. Datuk Seri Tiong King Sing datang ke Balai Polis Sibu walaupun pada jam 2 pagi.

“Tak sangka dan terima kasih banyak-banyak YB,” tulis Shima pada hantaran di IG.

Sementara itu, Baby Shima ketika dihubungi berkata, dia agak terkejut dengan ugutan bunuh diterima kerana kali pertama berhadapan dengan perkara itu.

“Ini kali pertama saya dapat komen ugutan dahsyat seperti ini, jadi agak terkejut. Dengan komen seperti ini, dia seolah-olah mahu mengancam saya.

“Disebabkan itu, saya mengambil langkah berhati-hati dengan membuat laporan polis,” katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Pura-Pura Bujang itu berkata, polis sedang menyiasat dan mengenal pasti pengguna FB terbabit.

“Sekarang polis masih siasat untuk cari individu berkenaan. Tapi, berdasarkan maklumat awal, individu berkenaan orang Sarawak.

“Polis akan bantu menjaga keselamatan saya sepanjang berada di Sarawak,” kata Baby Shima yang turut akan berhati-hati.

Baby Shima akan membuat persembahan di acara ‘MOTAC Bersama Komuniti Sibu’, sempena sambutan ambang Tahun Baharu di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya, malam ini.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427