MONTEVIDEO: Juara dunia, Argentina merakam kemenangan ketiga berturut-turut dalam aksi kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan selepas menewaskan Paraguay 1-0.
Gol minit ketiga jaringan Nicolas Otamendi memastikan kemenangan buat pasukan kendalian Lionel Scaloni, dengan Lionel Messi masuk sebagai pemain gantian di babak kedua dan dua kali percubaannya terkena tiang.
Darwin Nunez menyempurnakan penalti di masa kecederaan bagi membantu Uruguay seri 2-2 menentang Colombia di Barranquilla, manakala Ecuador meraih mata pertama dengan kemenangan 2-1 ke atas Bolivia.
Messi, pemenang tujuh kali Ballon d’Or, bermula di bangku simpanan dengan Julian Alvarez dan Lautaro Martinez menerajui serangan Argentina.
Bagaimanapun pertahanan veteran, Otamendi yang lebih mencuri tumpuan apabila dia memanfaatkan sepakan sudut Rodrigo De Paul untuk jaringan tunggal permainan.
Messi menggantikan Alvarez pada minit ke-53 tetapi dua kali percubaannya terkena palang.
Colombia menerima padah di atas kegagalan mereka memanfaatkan peluang menambah jaringan selepas mendahului 2-1.
James Rodriguez meletakkan Colombia di depan pada minit ke-35, tetapi Uruguay menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi Mathias Olivera.
Mateus Uribe kembali meletakkan Colombia di depan, dan Luis Diaz terlepas peluang menambah jaringan walaupun hanya berdepan penjaga gol.
Uruguay memastikan satu mata selepas diberikan sepakan penalti apabila penjaga gol, Camilo Vargas mengasari Maximiliano Araujo.
Vargas dibuang padang selepas dilayangkan kad kuning kedua dan penyerang Liverpool, Nunez dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti.
-AFP
-BeritaHarian