Apex Equity beli bangunan pejabat RM50 juta di Bangsar South

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Apex Equity Holdings Bhd, syarikat yang bergiat dalam pembrokeran saham, pembangunan hartanah dan perkhidmatan pinjaman wang mengumumkan pembelian bangunan pejabat di Bangsar South, Kuala Lumpur dengan harga RM50 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Apex Equity berkata anak syarikat milik penuhnya, Apex Development Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Yayasan Noah untuk membeli bangunan itu, yang berkeluasan kira-kira 54,876 kaki persegi, dengan harga RM911.15 setiap kaki persegi.

Bangunan itu, yang kini kosong, akan berfungsi sebagai pejabat Kumpulan Apex dan anak-anak syarikatnya, kata syarikat itu.

Ia menambah, sebarang lantai yang masih belum berpenghuni akan disediakan untuk dipajak.

Apex Equity berkata, lokasi perniagaan sedia ada sekarang yang terletak di Mutiara Damansara, Petaling Jaya diduduki di bawah perjanjian pajakan yang akan tamat tempoh pada suku kedua 2026.

Sehubungan itu, ia memerlukan keputusan sama ada untuk berpindah atau memperbaharui perjanjian pajakan.

“Cadangan pengambilalihan itu memberi peluang kepada syarikat untuk meningkatkan kestabilan operasi, meraih potensi peningkatan modal hartanah dalam jangka panjang dan menggalakkan rancangan pertumbuhan.

“Menubuhkan ibu pejabat tetap di hab perniagaan berprestij mengukuhkan keterlihatan jenama Kumpulan Apex dan keyakinan pihak berkepentingan,” tambahnya.

Pengambilalihan itu, yang dijadualkan selesai selepas tahun kewangan syarikat berakhir 2025, akan dibiayai 80 peratus atau RM40 juta oleh pinjaman bank dan 20 peratus (RM10 juta) lagi melalui dana yang dijana secara dalaman.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427