Anwar rasmi Sambutan Hari Guru Kebangsaan di MITC

Estimate Reading Time: < 1 minute

AYER KEROH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sebentar tadi bagi merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-52.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta beberapa pegawai kanan Kementerian Pendidikan (KPM).

Ini adalah kunjungan sulung beliau ke Melaka selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lalu.

Sambutan Hari Guru yang bertemakan ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’ bermula sejak semalam menerusi program Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s 2023, disusuli dengan Majlis Makan Malam anjuran kerajaan negeri serta penyampaian beberapa Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan, malam tadi.

Hari ini, dua lagi Tokoh Guru akan diumumkan Perdana Menteri iaitu Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023 dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023, sebagai kemuncak sambutan peringkat kebangsaan.

Sambutan di Melaka kali ini menyaksikan beberapa rakan strategik utama Kementerian Pendidikan (KPM) turut berganding bahu menjayakan acara berkenaan.

Sempena kunjungan Anwar ke Melaka, Presiden PKR itu dijadual menghadiri Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani Masyarakat Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Parlimen Tangga Batu di Dewan Bunga Tanjung, Tanjung Minyak, di sini jam 12 tengahari.

Majlis anjuran bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Pertubuhan Prihatin Anak Melaka. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427