Anwar harus pulihkan persepi pengundi kaum India – Ramasamy

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy mahu campur tangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja untuk menyelesaikan rungutan MIC tetapi membetulkan persepsi kaum India diketepikan di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, berkata MIC kesal kerana UMNO tidak memperuntukkan kerusi untuk calon parti pada pilihan raya negeri akan datang.

“Ada pendapat yang mengatakan MIC hampir dibuli dalam penafian kerusi. Ini mungkin dapat menjelaskan mengapa beberapa bahagian yang tidak berpuas hati di Selangor memutuskan untuk menukar sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

“MIC mungkin akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pemimpin Selangor ini, namun terdapat persepsi MIC telah diberikan janji kosong oleh UMNO,” katanya.

Menurut Ramasamy, persepsi itu menjadi punca utama mengapa MIC dan MCA memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya negeri.

“Sikap dingin yang diberikan terhadap MIC telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan MIC bukan sahaja di Selangor tetapi di negeri lain.

“Persepsi itu bukan mengenai MIC semata-mata tetapi juga bagaimana Kerajaan Perpaduan di bawah Anwar Ibrahim melayan masyarakat India,” katanya.

Untuk rekod, Ramasamy tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Keputusan itu sekali gus bakal menamatkan khidmatnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai selama tiga penggal, selepas mula menyandang kerusi itu sejak 2008 pada PRU12.

Ramasamy berkata, kenyataan berbaur perkauman oleh penyandang ADUN PKR terhadap kaum India membuatkan parti tidak disenangi oleh kaum India.

“Namun, ADUN itu diberi kerusi pada pilihan raya negeri Selangor akan datang menimbulkan kemarahan kaum India. Lebih-lebih lagi, pengguguran dua calon berbangsa India di Pulau Pinang tidak menggembirakan kaum India,” katanya.

Beliau mendakwa, penafian kerusi DUN bagi MIC telah ditafsirkan dalam erti kata yang luas dan isu itu bukan lagi urusan dalaman Barisan Nasional (BN).

Ramasamy berkata, MIC telah menjadi parti yang setia kepada UMNO selama beberapa dekad dalam BN dan tidak pernah mengkhianati UMNO walaupun dalam keadaan di mana orang India sering dipinggirkan dalam pemberian bantuan oleh kerajaan.

“Sekurang-kurangnya UMNO boleh merundingkan beberapa kerusi untuk MIC dan MCA, namun itu tidak berlaku,”katanya.

Beliau berkata Anwar mula bertemu dengan pemimpin MIC pada 2 Ogos 2023.

“Beliau menyedari berlaku perpecahan yang nyata antara UMNO dan MIC berdasarkan penafian kerusi dan masalah itu adalah di peringkat negara dan bukannya terhad kepada MIC,”

“Saya tidak pasti bagaimana Anwar akan mengubati luka parti yang pernah menjadi wakil masyarakat India.

MIC mungkin tidak mempunyai sokongan seperti pada hari-hari sebelumnya, tetapi masih mempunyai sokongan besar di peringkat nasional yang mampu menyebabkan kejatuhan kerajaan,” katanya.

Ramasamy menegaskan, Anwar perlu segera mengawal situasi ini bagi memastikan kaum India akan terus setia kepada Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

“Anwar mesti membuktikan kenyataannya bahawa Melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain adalah anak-anaknya bukan sekadar retorik sahaja. Beliau (Anwar) mesti meyakinkan MIC bahawa Kerajaan Perpaduan mempunyai kepentingan terbaik parti dan masyarakat.

“Bagaimana cara Anwar hendak meyakinkan MIC atau kaum India amnya adalah sukar untuk difahami pada masa ini,” katanya.

Tambah beliau MIC dan pengundi India di kira-kira 60 DUN adalah penting untuk Anwar.

“Kehadiran pengundi India mungkin menentukan keputusan pilihan raya negeri. Orang India perlu dipandang serius sama ada ahli MIC atau ahli DAP dan PKR. Kekecewaan MIC yang berterusan terhadap UMNO yang memerlukan campur tangan Anwar adalah bukti bagaimana orang India dilayan di negara ini,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427