PASIR PUTEH: Tan Sri Annuar Musa seolah-olah bercakap mengenai dirinya sendiri ketika membangkitkan isu 80 peratus kesalahan adalah di pihak Kerajaan Persekutuan apabila Kelantan tidak maju, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata ia kerana Annuar adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan sebelum ini selain Pengerusi BN Kelantan dan UMNO Kelantan.
“Dia (Annuar) harus mengaku kesalahannya (tidak majukan Kelantan),” katanya pada sidang media di Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Nelayan Tok Bali di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Datuk Zawawi Othman.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata Annuar juga mendakwa kononnya pada 4 Ogos lalu akan ada satu ‘peristiwa besar’ yang mengejutkan dan ramai akan keluar daripada UMNO.
“Yang berlaku cuma anak-beranak dia saja (keluar UMNO),” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) mendakwa sekiranya Kelantan tidak maju, ia adalah 80 peratus kesalahan Kerajaan Persekutuan.
Annuar berkata, ini kerana negara mengamalkan sistem federalisme iaitu sudah dihuraikan apa tanggungjawab Kerajaan Persekutuan kerajaan negeri dan tanggungjawab bersama.
– BH