MADRID: Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti gembira dengan persembahan Kylian Mbappe ketika kemenangan 2-0 ke atas Getafe dalam saingan La Liga di Santiago Bernabeu.
Kapten Perancis berusia 25 tahun itu meledak gol kedua Real lapan minit selepas Jude Bellingham menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-30.
Mbappe kini adalah penjaring terbanyak kelab dalam saingan liga musim ini bersama Vinicius Jr yang turut meledak lapan gol.
Selepas aksi hambar ketika tewas 2-0 di tangan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu, termasuk gagal menyempurnakan sepakan penalti di babak kedua, Mbappe tampil lebih bertenaga menentang Getafe untuk meledak gol ke-10nya musim ini dalam semua pertandingan.
“Dia aktif, berbahaya dan menjaringkan gol hebat yang sangat penting untuk mengawal permainan. Itu yang kami mahukan daripadanya.
“Peminat lebih memahami berkenaan pasukan dan pemain-pemain. Mereka terus menyokong Mbappe selepas Anfield kerana ia perkara yang sepatutnya dilakukan,” kata Ancelotti.
Juara bertahan La Liga itu kini hanya satu mata di belakang pendahulu, Barcelona yang bermain lebih satu perlawanan.
-REUTERS
-BeritaHarian