KUALA LUMPUR: Badan Selia Beras dan Padi (BKSBP) diarah meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam isu penipuan kampit beras.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan.
“Kementerian sudah mengarahkan BKSBP menyediakan talian Hotline untuk memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat.
“Orang ramai diminta menghantar sebarang maklumat mengenai bekalan atau penipuan yang berlaku ke alamat emel aduankpb@kpkm.gov.my atau melalui talian 03-88701751/1748/1183,” katanya yang kini berada di Rom, Itali bagi menghadiri Persidangan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) ke-43.
Sebelum ini BH melaporkan terdapat segelintir pemborong beras didakwa cuba memanipulasi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import.
Taktik itu dipercayai dilakukan kerana harga beras import tidak dikawal kerajaan, sebaliknya hanya diapungkan manakala harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 untuk beg 10 kilogram (kg).
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata sebagai pemborong, pihaknya tidak dapat mengesan perbuatan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import kerana produk dihantar sudah siap dibungkus dan sedia untuk dijual.
“Jika ada pemborong yang menukar, menipu atau mencampur beras tempatan dengan import, perbuatan itu jelas salah dari segi undang-undang dan kerajaan perlu ambil tindakan.
“Pemborong mendapat pelbagai jenis bantuan subsidi oleh kerajaan dan perkara seperti sepatutnya tidak berlaku,” katanya kepada BH.
Ameer berkata tindakan tegas dan pemantauan yang lebih berkesan di peringkat kerajaan amat diperlukan bagi memastikan perkara ini dapat dihentikan dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Tidak wajar perkara ini berlaku kerana perbuatan ini menipu pengguna, harus diambil tindakan segera,” katanya.
– BH