KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IJM Land Bhd bagi menggalakkan usaha pemilikan hartanah dengan pensijilan hijau untuk menyumbang kepada komuniti serta persekitaran lebih mampan.
Kerjasama itu juga membolehkan akses pembeli terhadap pakej pembiayaan gadai janji hijau bank berkenaan bagi hartanah IJM Land yang diperakui hijau serta menawarkan pakej pembiayaan kompetitif serta tempoh permohonan yang lebih pantas.
Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li, berkata sejajar dengan usaha bank itu untuk muncul sebagai organisasi menumpukan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), ia akan terus melakukan inovasi penyelesaian bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.
“Kerjasama strategik dengan IJM Land ini juga selaras dengan aspirasi ESG kami selain matlamat menjadi bank untuk komuniti dan menyokong perjalanan mereka memiliki rumah sendiri.
“Kami juga teruja untuk mengembangkan lagi jangkauan ke pasaran utama, membolehkan lebih banyak perniagaan dan pelanggan mempraktikkan amalan lestari dan mewujudkan impak bermakna untuk masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Alliance Bank menyasarkan untuk meraih RM10 bilion dalam perniagaan perbankan mampan menjelang tahun kewangan 2025 yang menjadi sebahagian daripada matlamat kelestariannya, termasuk mengurangkan pelepasan rumah hijau.
Bank itu berjaya meraih RM6.7 bilion dalam perniagaan perbankan kelestarian baharu setakat tahun kewangan 2023.
Ia juga menyifatkan perkongsian dengan IJM Land dapat menyokong peluang pertumbuhannya di bawah strategi Acceler8 yang membabitkan tumpuan kumpulan dalam meluaskan fokus bagi segmen pengguna berkaitan pembiayaan hartanah.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land, Datuk Wong Tuck Wai, berkata pakej pembiayaan itu juga amat sesuai dengan cadangan nilai hijau, sihat dan menyeluruh pemaju hartanah itu serta membolehkan pembeli memanfaatkan tawaran berkenaan sebagai permulaan memiliki rumah bercirikan hijau.
“Menyedari impak tinggi industri pembinaan terhadap alam sekitar, kami menjadikan inovasi dan kelestarian ekologi sebagai pemacu utama strategi pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan itu.
-BERNAMA
-BH