Aktiviti pengambilan untung, Bursa Malaysia dibuka rendah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan indeks petunjuk utama susut susulan tindakan segelintir pelabur mengambil keuntungan selepas kenaikan semalam.

Pada 9.05 pagi ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.75 mata ke paras 1,464.09 daripada 1,466.84 semalam – angka tertinggi dalam tempoh melebihi lapan bulan.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 2.06 mata kepada 1,464.78.

Kaunter untung mengatasi rugi dalam jumlah kecil iaitu 140 berbanding 135 manakala 269 lain tidak tidak berubah, 1,836 tidak diniagakan selain 24 kaunter yang digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 163.43 juta unit bernilai RM71.94 juta.

Bagaimanapun, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng yakin sentimen yang kembali pulih pada masa ini akan mendorong FBM KLCI berlegar dalam julat 1,465-1,475.

“Wall Street misalnya terus mencatat peningkatan, kebanyakannya dipacu oleh perkembangan membabitkan data inflasi AS yang lebih lemah dan memaparkan bahawa kitaran kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan telah berakhir.

“Biarpun tiada sebarang petunjuk mengenai pengurangan kadar faedah setakat ini, sentimen kekal positif berikutan persepsi bahawa kadar faedah itu mungkin telah mencecah paras kemuncaknya,” katanya.

Berikutan itu, Rakuten Trade berpendapat bahawa indeks utama Bursa Malaysia itu akan dapat ditutup melebihi paras 1,500.

Pada masa sama, katanya, kalangan pelabur turut mengalu-alukan mengenai hasrat China untuk menyediakan sekurang-kurangnya 1 trilion yuan (AS$137 bilion) bagi pembiayaan kos rendah melibatkan usaha pengubahsuaian perkampungan di kawasan bandar selain program perumahan mampu milik dalam usaha memacu pemulihan sektor hartanahnya yang dibelenggu masalah.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd pula menjangkakan sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan, utiliti dan pengguna terus menjadi tumpuan menjelang musim pelaporan korporat tidak lama lagi.

Saham wajaran tinggi seperti Maybank turun tiga sen kepada RM9.11 manakala Public Bank, Tenaga Nasional dan IHH masing-masing susut satu sen kepada RM4.22, RM9.99 dan RM5.97.

Petronas Chemicals, CelcomDigi dan Hong Leong Bank pula masing-masing kekal tidak berubah pada RM7.35, RM4.33 dan RM19.24.

Bagi saham aktif, Top Glove untung 2.5 sen kepada 77.5 sen, Hong Seng meraih setengah sen kepada 4.5 sen manakala Computer Forms dan Careplus menambah satu sen kepada 19 sen dan 28.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 8.78 mata kepada 10,823.28, Indeks FBMT 100 berkurangan 10.22 mata kepada 10,483.61 dan Indeks FBM ACE turun 5.14 mata kepada 5,116.04.

Selain itu, Indeks FBM Emas Shariah menambah 8.59 mata kepada 11,055.89 dan Indeks FBM 70 meraih 27.17 mata kepada 14,315.98.

Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 46.70 mata kepada 16,383.40, Indeks Tenaga berkurangan 1.29 mata kepada 861.55 manakala Indeks Perladangan naik 5.69 mata kepada 7,027.92 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.07 mata kepada 174.63.

– Bernama

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427