KUALA LUMPUR: Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kelima berturut-turut yang memperlihatkan aliran masuk bersih berjumlah RM433.16 juta.
Dalam laporan aliran dana mingguan bagi minggu berakhir 10 September 2021, MIDF Research berkata, ketika pasaran dibuka pada Isnin lalu, pelabur asing adalah pembeli bersih berjumlah RM72.18 juta.
Katanya, ia kemudian diikuti oleh pelabur runcit dengan pembelian bersih sebanyak RM11.10 juta, sementara institusi tempatan adalah penjual bersih dengan penguncupan sebanyak RM83.28 juta.
“Pelabur asing adalah pembeli bersih untuk setiap hari kecuali Khamis. Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada Rabu dengan aliran masuk terendah pada Isnin, yang mana masing-masing sebanyak RM207.19 juta dan RM72.18 juta.
“Penjualan bersih oleh pelabur asing adalah pada Khamis dengan berjumlah -RM62.95 juta,” katanya dalam laporan mingguan itu.
Bagi pelabur runcit, MIDF Research berkata, mereka adalah pembeli bersih setiap hari, dengan pembelian bersih terbesar direkodkan pada Khamis dan pembelian bersih terendah pada Isnin, dengan masing-masing sebanyak RM129.62 juta dan RM11.10 juta.
Secara terkumpul, ia berkata, pada minggu itu, belian bersih ekuiti di Bursa Malaysia oleh pelabur runcit adalah bernilai RM278.59 juta.
Sementara itu, katanya, institusi tempatan pula mencatatkan penjualan bersih mingguan terkumpul sebanyak -RM711.96 juta.
“Institusi tempatan adalah penjual bersih untuk setiap hari pada minggu itu dengan jualan bersih terbesar pada Rabu sebanyak -RM243.26 juta, sementara nilai penjualan terendah adalah pada Khamis sebanyak -RM66.88 juta.
MIDF Research berkata, sejak awal 2021, secara terkumpul, pelabur runcit adalah satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan berjumlah RM9.83 bilion.
Ia berkata, pelabur institusi tempatan dan asing pula adalah penjual bersih iaitu masing-masing sebanyak -RM6.04 bilion dan -RM3.79 bilion.
Namun, katanya, diperhatikan pelabur asing secara beransur-ansur mengurangkan penjualan bersih mereka dari paras -RM6.01 bilion setakat 9 Ogos 2021.
Dari segi penyertaan pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatatkan pergerakan mingguan membabitkan purata nilai dagangan harian (ADTV) masing-masing sebanyak 2.49 peratus, -1.15 peratus dan -29.79 peratus. -BH