Akta 342 perlu dipinda untuk naikkan kadar kompaun

Estimate Reading Time: < 1 minute

GOMBAK: Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) perlu dipinda bagi membolehkan kompaun lebih setimpal dikenakan terhadap syarikat yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk mengekang penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kadar kompaun RM1,000 ketika ini perlu dinaikkan bagi ‘menghukum’ syarikat yang ingkar terbabit.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti nilai kompaun baharu yang berkemungkinan diumumkan nanti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

“Apapun, kita tunggulah. Saya pun tidak boleh hendak komen lagi kerana apa jua bentuk hukuman itu, kita akan umumkan kemudian.

“Mungkin Ketua Polis Negara, Kementerian Kesihatan ataupun Majlis Keselamatan Negara yang akan mengumumkannya.

“Itu kita tidak tahu lagi sebab ia membabitkan Ordinan Darurat, pindaan terhadap Akta 342 kerana hukuman bawah akta berkenaan terlalu rendah, iaitu maksimum RM1,000. Ini bermakna jika syarikat besar melakukan kesalahan, denda boleh dikenakan hanya RM1,000.

“Dulu, rakyat marah apabila sebuah kilang sarung tangan melakukan kesalahan dan denda dikenakan hanya RM1,000. Bukan kerana mahu mengenakan RM1,000 tetapi dalam Akta 342 (kadar) maksimum ialah RM1,000.

“Sekarang, kita akan tambah, mungkin lebih besar hukumannya terhadap syarikat yang melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke sekatan jalan raya di Sentul dan Plaza Tol Gombak, hari ini.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427