AKSEM Perlis rampas kosmetik, pewangi tiruan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PADANG BESAR: Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis merampas pelbagai jenama barangan kosmetik dan pewangi tiruan bernilai RM177,090 selepas menyerbu sebuah rumah di Padang Besar, di sini, semalam.

Komander AKSEM Perlis, Superintendan Azizan Saman, berkata serbuan dilakukan pada kira-kira jam 1 tengah hari di Rumah Perumahan Awam (RPA) Padang Besar Utara dan anggotanya menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an dalam kediaman itu.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan anggota kita selama seminggu yang mendapati rumah berkenaan dijadikan transit untuk memasarkan barangan kosmetik serta pewangi tiruan ke Thailand.

“Antara jenama pewangi dan kosmetik tiruan dirampas termasuk Hugo Boss, Chanel, Tommy Hilfiger, Paris Hilton dan bermacam lagi.

“Siasatan awal mendapati, suspek sudah menjalankan aktiviti berkenaan selama setahun dan dia dipercayai mendapat bekalan barangan kosmetik termasuk kolagen wanita serta pewangi tiruan pelbagai jenama itu dari Kuala Lumpur dan dibawa ke Perlis menggunakan lori,” katanya kepada media di Pejabat AKSEM Padang Besar, di sini, semalam.

Katanya, barangan berkenaan kemudian dibawa masuk ke Thailand secara berperingkat sekiranya terdapat permintaan.

“Pengedaran barangan ini ke Thailand akan dilakukan ejen yang akan membawa barangan keperluan dan runcit yang sah bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Barangan ini kemudian dipasarkan dengan harga seperti kosmetik dan pewangi tulen. Ini bermakna jika modal minyak wangi tiruan seperti ini antara RM60 hingga RM80 di negara ini, ia akan dijual di Thailand dengan harga mencecah RM300 hingga RM400 seperti harga barangan berkenaan yang asli,” katanya.

Beliau berkata, suspek diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis untuk siasatan lanjut mengikut Akta Racun 1952.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427